KUALA LUMPUR: Kepelbagaian budaya masyarakat di Borneo khususnya Sabah dan Sarawak merupakan antara kekuatan unik Malaysia yang mampu menarik lebih ramai pelancong antarabangsa ke negara ini.
Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Chiew Choon Man berkata, kekayaan warisan budaya Borneo meliputi adat resam, seni, pakaian tradisional, makanan serta pelbagai bentuk ekspresi budaya yang menjadi tarikan istimewa kepada pelancong.
Beliau berkata, kepelbagaian budaya yang dimiliki Malaysia bukan satu kelemahan, sebaliknya menjadi aset penting yang membezakan negara ini daripada destinasi pelancongan lain di dunia.

Katanya, pelancong masa kini semakin mencari pengalaman baharu dan unik, termasuk peluang mengenali cara hidup serta warisan masyarakat tempatan.
“Kepelbagaian budaya yang kita ada di Malaysia adalah kekuatan unik kita dan itulah yang membezakan kita dengan negara lain.
“Pelancong hari ini mahu tahu apa yang berbeza di sesebuah negara dan mereka mahu merasai sendiri pengalaman tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melancarkan Keenakan dan Cita rasa Kaamatan Sabah dan Gawai Sarawak, di ibis Kuala Lumpur City Centre (ibis KLCC), di sini pada Rabu.
Chiew berkata, penganjuran program sebegitu membolehkan masyarakat khususnya di Semenanjung mengenali dengan lebih dekat keunikan budaya Sabah dan Sarawak, sekali gus memperkukuhkan semangat perpaduan dalam kepelbagaian.

Dalam pada itu, beliau berkata gastronomi Borneo turut mempunyai potensi besar untuk dikembangkan sebagai produk pelancongan negara sepanjang tahun dan tidak hanya tertumpu pada musim perayaan seperti Kaamatan dan Gawai.
Katanya, beberapa makanan tradisi dari Sabah dan Sarawak telah menjadi sebahagian daripada warisan makanan negara serta semakin mendapat perhatian masyarakat.
“Apabila kita melihat semakin banyak kedai dan tempat makan yang menawarkan makanan Sabah dan Sarawak di Kuala Lumpur, ia adalah satu petanda yang baik,” katanya.
Beliau turut berkata Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) akan terus bekerjasama rapat dengan kerajaan negeri serta agensi pelancongan berkaitan bagi memperkasakan promosi budaya tempatan.
Katanya, elemen budaya akan terus menjadi salah satu pendekatan utama dalam menarik pelancong sempena usaha memperkukuhkan sektor pelancongan negara.
“Budaya yang kita ada dari seluruh negara adalah kekuatan kita dan ia perlu diketengahkan kepada dunia,” katanya.
Dalam pada itu ketika berucap, Chiew berkata, MOTAC melalui agensinya Tourism Malaysia, kekal komited untuk memelihara dan mempromosikan warisan budaya negara sebagai tunjang utama pembangunan pelancongan lestari.

“Ketibaan pelancong ke Malaysia kekal teguh dan berdaya tahan. Pada suku pertama kami, antara Januari hingga Mac, Malaysia menyambut lebih 10.6 juta pelawat.
“Ini merupakan peningkatan sebanyak 5.37 peratus berbanding ketibaan pelawat pada tahun 2025 dalam tempoh yang sama.
“Dalam memperkukuh Tahun Melawat Malaysia 2026, kami akan terus mengetengahkan pengalaman budaya autentik yang memainkan peranan penting dalam menarik pelawat domestik dan antarabangsa,” katanya. – SABAH MEDIA



