HomeUtama986 struktur setinggan tanpa kelulusan di Pulau Gaya dirobohkan

986 struktur setinggan tanpa kelulusan di Pulau Gaya dirobohkan

Read Time:1 Minute, 33 Second

KOTA KINABALU: Sebanyak 986 rumah dan struktur setinggan tanpa kelulusan di koloni setinggan Pondo, Pulau Gaya telah dirobohkan menerusi operasi penguatkuasaan yang dijalankan sejak tahun 2002.

Datuk Bandar Kota Kinabalu Datuk Seri Dr Sabin Samitah berkata, tindakan perobohan itu merupakan sebahagian daripada perancangan berterusan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dalam menguruskan kawasan setinggan di bawah pentadbirannya.

Beliau berkata, DBKK mempunyai jadual operasi yang tersusun dan tindakan penguatkuasaan dilaksanakan secara berkala termasuk setiap bulan.

“Kita memang mempunyai perancangan yang teratur. Setiap masa kita ada program untuk merobohkan rumah-rumah setinggan yang telah dikenal pasti dan telah diberikan notis kepada mereka.

“Kita juga ada operasi setiap bulan, malah setiap minggu ada tindakan perobohan yang dijalankan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Program LA21 i-Fit Pulau Gaya 2026 di Balai Raya Kampung Torong-Logong Pulau Gaya di sini.

Sabin berkata, berdasarkan rekod operasi, sebanyak 869 struktur telah dirobohkan pada tahun 2002 di kawasan berkenaan, manakala 117 struktur lagi pada tahun 2003, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 986 struktur.

Beliau berkata, sebelum sesuatu operasi dilaksanakan, DBKK akan menjalankan bancian terlebih dahulu bagi mengenal pasti status penghuni di kawasan berkenaan.

Katanya, sekiranya penghuni terbabit merupakan penduduk tempatan, pihak berkuasa akan melihat keperluan tertentu termasuk kemungkinan penempatan semula mengikut keadaan.

“Kita akan buat bancian dulu sebelum masuk ke kawasan setinggan. Kalau mereka penduduk tempatan, kita akan tengok di mana mereka patut dipindahkan jika keadaan memerlukan.

“Tetapi kalau mereka yang datang secara tidak sah, kita akan maklumkan dan tindakan perobohan akan dibuat mengikut prosedur dengan notis diberikan terlebih dahulu,” katanya.

Beliau berkata, operasi tersebut turut melibatkan kerjasama pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Tanah dan Ukur serta pemilik tanah bagi memastikan tindakan penguatkuasaan berjalan lancar.

DBKK, katanya, akan terus melaksanakan pemantauan dan penguatkuasaan bagi memastikan kawasan bandar serta pulau di bawah pentadbirannya lebih tersusun, bersih dan selamat. – SABAH MEDIA / FOTO DBKK

RELATED ARTICLES
Utama

JIM Sabah tingkat penguatkuasaan, tiada kompromi

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular