HomeUtamaKementerian Perpaduan mahu perpustakaan lebih proaktif dekati masyarakat

Kementerian Perpaduan mahu perpustakaan lebih proaktif dekati masyarakat

Read Time:1 Minute, 51 Second

KOTA KINABALU,— Kementerian Perpaduan Negara mahu perpustakaan memainkan peranan lebih proaktif dengan mendekati masyarakat menerusi pelbagai pendekatan baharu bagi memperkukuh budaya membaca dan literasi maklumat, khususnya dalam kalangan generasi muda.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, perpustakaan pada abad ke-21 tidak lagi boleh dilihat sekadar sebagai tempat menyimpan koleksi buku, sebaliknya perlu hadir di lokasi yang menjadi tumpuan masyarakat termasuk sekolah, taman awam, pusat komuniti serta ruang digital.

Beliau berkata, jika rakyat tidak datang ke perpustakaan, maka institusi itu sendiri perlu mendekati rakyat, selaras dengan komitmen kementerian menerusi Perpustakaan Negara Malaysia untuk memperluaskan akses kepada ilmu.

“Perpustakaan perlu keluar daripada tembok fizikalnya dan mendekati masyarakat. Perpustakaan mesti hadir di sekolah, taman awam, pusat komuniti, ruang digital dan pelbagai lokasi yang menjadi tumpuan rakyat.

“Jika rakyat tidak datang ke perpustakaan, maka perpustakaan perlu mendekati rakyat. Inilah semangat yang diterjemahkan melalui Program Kembara Ilmu pada hari ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup Program Kembara Ilmu dan Pesta Buku Sabah sempena Sambutan Minggu Perpaduan Peringkat Kebangsaan Sabah 2026 di Stadium Likas, hari ini.

Aaron berkata, Program Kembara Ilmu yang diperkenalkan menerusi konsep info hunt atau pencarian maklumat secara berkumpulan merupakan pendekatan baharu untuk menggalakkan pembelajaran secara aktif, di samping memupuk kerjasama dan minat terhadap pembacaan.

Menurut beliau, pendekatan memupuk budaya membaca juga perlu berubah sejajar dengan perkembangan generasi digital yang memerlukan kaedah lebih interaktif, termasuk pembelajaran berasaskan pengalaman, gamifikasi, eksplorasi digital dan aktiviti komuniti.

Beliau berkata, cabaran utama ketika ini bukan lagi kekurangan maklumat, tetapi keupayaan masyarakat untuk membaca, memahami, menilai serta membezakan fakta daripada maklumat yang mengelirukan dalam era media sosial dan kecerdasan buatan (AI).

Dalam pada itu, Aaron berkata Pesta Buku Sabah yang diadakan sempena Sambutan Minggu Perpaduan Peringkat Kebangsaan 2026 bukan sahaja menawarkan pelbagai terbitan terkini kepada masyarakat, malah menjadi platform memperkasa karya penulis tempatan Sabah serta mengukuhkan ekosistem industri penerbitan negeri.

Beliau berkata, pesta buku berkenaan turut menerima sambutan memberangsangkan dengan kehadiran ribuan pengunjung sepanjang penganjurannya, sekali gus membuktikan minat masyarakat terhadap ilmu dan budaya membaca masih kekal subur.

Mengakhiri ucapannya, beliau berharap Program Kembara Ilmu, Pesta Buku Sabah serta pelbagai aktiviti yang dianjurkan sempena Minggu Perpaduan dapat terus menjadi platform berkesan dalam menyemarakkan budaya membaca, memperkukuh literasi maklumat dan menyatukan rakyat Malaysia melalui ilmu.

RELATED ARTICLES
Utama

Kerja pembaikan berjalan, Dewan Gimnastik kekal digunakan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular