KOTA KINABALU : Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah (PBNS) Datuk Ag Sharin Alimin dan Ahli Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) Malaysia Datuk Masnah Matsalleh dipilih sebagai Tokoh Maal Hijrah Sabah 2026 sempena sambutan Maal Hijrah 1448 peringkat negeri di sini, pada Rabu.
Kedua-dua penerima anugerah bagi kategori lelaki dan wanita itu menerima anugerah tokoh yang disampaikan Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Musa Aman.

Majlis yang berlangsung di Dewan Saadah Wisma Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) itu turut dihadiri isteri Tun Musa, Toh Puan Faridah Tussin dan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor serta isteri Datin Seri Juliah Salag.
Ag Sharin,73, memiliki latar belakang pendidikan yang cemerlang, termasuk Ijazah Sarjana dalam bidang Usuluddin dan Kemasyarakatan Islam serta Diploma Pentadbiran Kehakiman Islam.
Beliau turut mengikuti pengajian dan latihan dalam bidang kaunseling di dalam dan luar negara.
Sepanjang perjalanan kerjayanya, beliau telah menyumbang secara signifikan kepada pembangunan masyarakat melalui pembinaan dan penambahbaikan kemudahan awam seperti masjid, dewan dan bilik kuliah.
Di peringkat negeri, beliau dikenali sebagai seorang tokoh yang berpengalaman luas dalam pentadbiran awam, penyelarasan antara agensi serta penggubalan dasar yang memberi manfaat kepada rakyat Sabah.
Ketika ditemui, Ag Sharin berkata, beliau berasa syukur dan berterima kasih kerana dipilih sebagai Tokoh Maal Hijrah negeri Sabah pada tahun ini.
“Sebenarnya, penghormatan ataupun anugerah ini bukan untuk saya seorang, malah untuk kesemua mereka-mereka yang telah menyokong dan mendorong saya untuk bersama-sama mereka untuk memeriahkan lagi perayaan Maal Hijrah ini,” katanya.
Sementara itu, Masnah,65,telah memegang pelbagai jawatan penting dalam perkhidmatan awam negeri Sabah sepanjang tempoh tiga dekad berkhidmat termasuk sebagai Pengarah Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah, Setiausaha Tetap Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, serta Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah.

Beliau memperoleh pendidikan awal di Maktab Sabah, seterusnya melanjutkan pengajian di Institut Teknologi MARA (ITM), Shah Alam sebelum meraih Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) dari Edith Cowan University, Australia.
Antara sumbangan besar beliau ialah penubuhan Unit Bantuan Guaman Hal Ehwal Wanita dan memulakan operasi Rumah Perlindungan Wanita Sabah, selain memperkasakan pembangunan modal insan dan tadbir urus pihak berkuasa tempatan di negeri ini.
Ketika pandemik COVID-19, beliau turut memainkan peranan penting sebagai Pengerusi Bersama Pasukan Petugas Imunisasi COVID-19 Sabah, memastikan pelaksanaan program vaksinasi berjalan lancar di seluruh negeri.
Ketika ditemui, beliau turut rasa bersyukur atas penganugerahan yang diterima dan merakamkan penghargaan kepada Kerajaan negeri atas pengiktirafan sebagai Tokoh Maal Hijrah.
“Alhamdulillah saya rasa bersyukur atas penganugerahan ini. Sungguh saya rasa sangat bersyukur atas penganugerahan ini dan sangat berterima kasih kepada kerajaan negeri, kepada Yang Amat Berhormat Ketua Menteri, kepada pengerusi jawatankuasa penganjur, Yang Berhormat Datuk Dr. Ariffin Arif beserta jawatankuasanya.
” Alhamdulillah. Terima kasih, saya amat menghargai pengiktirafan dan sokongan daripada kerajaan negeri,” katanya.
Terdahulu, majlis itu turut dihadiri lebih 3,000 umat Islam sekitar bandaraya Kota Kinabalu dan daerah berhampiran. – SABAH MEDIA



