HomeUtamaMahkamah Tetapkan 13 Ogos Dengar Permohonan SPRM Beku Aset Jersey RM5.5 Bilion

Mahkamah Tetapkan 13 Ogos Dengar Permohonan SPRM Beku Aset Jersey RM5.5 Bilion

Read Time:2 Minute, 11 Second

KUALA LUMPUR, 18 Jun — Mahkamah Tinggi menetapkan 13 Ogos depan bagi mendengar permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menghalang Toh Puan Na’imah Abdul Khalid dan pihak-pihak berkaitan daripada menguruskan aset luar pesisir di Jersey yang dianggarkan bernilai kira-kira RM5.5 bilion.

Tarikh pendengaran itu ditetapkan oleh Pesuruhjaya Kehakiman Noor Ruwena Md Nurdin semasa prosiding pengurusan kes yang berlangsung hari ini.

Timbalan Pendakwa Raya Mahadi Abdul Jumaat hadir mewakili pihak pendakwaan, manakala Na’imah diwakili peguam Muhammad Nizamuddin Abdul Hamid. Na’imah tidak perlu hadir ke mahkamah.

Berdasarkan dokumen mahkamah, permohonan tersebut difailkan oleh SPRM pada 25 Jun tahun lalu membabitkan aset yang terdiri daripada AS$157.5 juta (kira-kira RM667 juta) dan £85 juta (kira-kira RM4.9 bilion) yang disimpan di Jersey, sebuah Wilayah Tanggungan Mahkota British.

SPRM mendakwa aset berkenaan diperoleh oleh Na’imah atau individu yang mempunyai kaitan dengannya di Malaysia, namun tidak diisytiharkan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Permohonan itu difailkan mengikut Seksyen 53 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA), susulan siasatan yang dijalankan di bawah undang-undang percukaian dan peruntukan berkaitan pengubahan wang haram.

Kes berkenaan merupakan permohonan ketiga SPRM melibatkan aset luar negara yang dikaitkan dengan Allahyarham Tun Daim Zainuddin dan ahli keluarganya.

Sebelum ini, SPRM turut memfailkan permohonan berkaitan aset di United Kingdom dan Singapura.

Pada 19 Jun tahun lalu, SPRM memohon perintah sekatan terhadap Na’imah, anaknya Muhammed Amir Zainuddin, dua individu lain, lima syarikat serta pihak berkaitan melibatkan dana pelaburan bernilai kira-kira £21 juta (RM121 juta) dan AS$99 juta (RM423 juta) yang disimpan di Singapura.

Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi Malaya pada 22 Mei lalu menolak permohonan tersebut.

Dalam prosiding berasingan membabitkan The Ilham Foundation, Mahkamah Tinggi dijadual menyampaikan keputusan pada 30 Jun ini berhubung permohonan Na’imah untuk membatalkan tindakan SPRM membekukan beberapa hartanah komersial dan kediaman di London yang dianggarkan bernilai £132 juta.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki sebelum ini memaklumkan bahawa suruhanjaya itu telah membuka lapan kertas siasatan selepas menerima maklumat baharu daripada agensi penguat kuasa luar negara mengenai aset yang dikaitkan dengan Daim, ahli keluarganya serta individu yang dipercayai bertindak sebagai proksi.

Menurut beliau, aset-aset tersebut tidak diisytiharkan ketika siasatan terdahulu yang dijalankan SPRM pada 2023.

Dalam perkembangan berkaitan, firma guaman Raj & Sach yang mewakili Na’imah dan anak-anaknya sebelum ini menafikan dakwaan bahawa beliau gagal dikesan sepanjang siasatan berhubung dakwaan komplot menjatuhkan kerajaan. Firma itu menegaskan bahawa maklum balas rasmi telah diberikan sebaik menerima notis polis dan Na’imah serta keluarganya telah memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa sepanjang siasatan dijalankan.

RELATED ARTICLES
Utama

Persaingan Politik Tidak Wajar Jejas Kerjasama Nasional – Salleh Said Keruak

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular