Oleh Sitti Nor Azizah Talata
TAWAU: Program Wacana Pemikir Zon Tawau yang menghimpunkan pemimpin akar umbi dan masyarakat dari beberapa daerah di Pantai Timur Sabah dilihat mampu membuka minda rakyat mengenai perkembangan geopolitik global tanpa mengabaikan nilai perpaduan dan identiti tempatan.
Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, program anjuran Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) itu merupakan platform penting bagi meningkatkan kefahaman masyarakat terhadap isu-isu semasa yang berlaku di peringkat antarabangsa.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada USIA yang dipimpin Presidennya, Datuk Sapawi Ahmad kerana berjaya menganjurkan Program Wacana Pemikir peringkat Zon Tawau yang bertemakan “Malaysia Dalam Persaingan Kuasa Besar Dunia: Apa Itu Geopolitik dan Mengapa Penting Untuk Anak Sabah”.
“Saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada USIA yang telah membawa program Wacana Pemikir Zon Tawau ini. Difahamkan program ini merupakan siri pertama dalam jelajah wacana tersebut dan saya amat teruja kerana berjaya menghimpunkan ramai pemimpin akar umbi dari Parlimen Tawau, Kalabakan, Semporna, Kunak dan Lahad Datu.
“Program seperti ini memberi peluang kepada peserta mendengar sendiri pandangan serta perkongsian daripada panel-panel berpengalaman mengenai situasi geopolitik dunia yang semakin mencabar,” katanya ketika merasmikan program itu di Dewan Masyarakat Tawau, pada Sabtu.
Turut hadir Yang Dipertua USIA, Datuk Sapawi Ahmad.
Menurut beliau, masyarakat perlu mempunyai pemikiran yang terbuka dalam menilai sesuatu isu global, namun pada masa sama perlu memiliki pendirian sendiri dan tidak mudah terpengaruh dengan naratif yang boleh menjejaskan keharmonian negara.
Katanya, walaupun pelbagai peristiwa berlaku di peringkat antarabangsa, rakyat Sabah dan Malaysia perlu menilai setiap perkembangan secara rasional serta tidak menyalahkan mana-mana pihak dalam negara terhadap isu yang berlaku di luar lingkungan kuasa mereka.
“Perkara yang berlaku di peringkat global mungkin memberi kesan kepada kita, namun yang lebih penting ialah bagaimana kita mengekalkan keharmonian, perpaduan dan kestabilan dalam negara.
“Kita perlu terus bersatu padu, bekerjasama serta mendukung agenda pembangunan yang dibawa oleh kepimpinan negara di bawah Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kerajaan negeri pimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor,” ujar beliau.
Nizam berkata, matlamat utama penganjuran Wacana Pemikir adalah untuk melahirkan masyarakat Sabah yang progresif, berdaya saing di peringkat global serta mempunyai jati diri yang kukuh berasaskan nilai agama, budaya dan adat resam tempatan.
Beliau turut menyifatkan gabungan panel jemputan yang terdiri daripada latar belakang berbeza sebagai satu kekuatan program kerana mampu memberikan perspektif yang lebih menyeluruh mengenai isu geopolitik dan cabaran semasa.
“Syabas kepada USIA atas kerjasama pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan badan dakwah di Tawau yang berjaya menghimpunkan anak jati Sabah dengan idea serta pemikiran yang berteraskan realiti negeri ini.
“Saya berharap program seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang dan kerajaan negeri melalui kementerian saya akan sentiasa menyokong usaha-usaha yang mampu membuka minda golongan belia serta memperkukuhkan pemikiran kritis dalam kalangan masyarakat Sabah,” jelasnya.



