KOTA KINABALU: Mahkamah Koroner menyasarkan keputusan inkues kematian Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir disampaikan sebelum Pembukaan Tahun Perundangan (Legal Year) tahun depan.
Koroner Amir Shah Amir Hassan berkata, sasaran itu ditetapkan selepas mahkamah menyusun semula jadual pendengaran inkues yang dijangka berakhir pada 23 Oktober ini.
Koroner Amir Shah Amir Hassan menetapkan13 hingga 17 Julai, 24 hingga 28 Ogos, 7 hingga 11 September dan 5 hingga 23 Oktober selepas perbincangan dengan semua pihak mengenai baki saksi dan tempoh yang diperlukan untuk melengkapkan keterangan mereka.
“Diharapkan semuanya selesai menjelang 23 Oktober. Kemudian, kita akan menetapkan arahan bagi penghujahan dan keputusan. Sasaran sekarang adalah untuk menyampaikan keputusan sebelum ‘Legal Year’ seterusnya,” katanya.
Inkues akan bersambung esok hingga Jumaat ini, dengan pakar tulisan tangan, Dr Linthini Gannetion, dijangka memberi keterangan sebagai saksi ke-74.
Terdahulu, prosiding inkues yang dijadualkan berlangsung hari ini terpaksa dikosongkan susulan salah faham antara pihak-pihak berhubung giliran saksi.
Zara ditemui tidak sedarkan diri di tingkat bawah asramanya sebelum disahkan meninggal dunia pada 17 Julai 2025 di Hospital Queen Elizabeth.
Kematiannya, yang didakwa melibatkan unsur buli, telah mencetuskan desakan di seluruh negara agar langkah pencegahan buli diperkukuh dan akauntabiliti ditingkatkan.
Pada 20 Ogos 2025, lima remaja yang dikenali sebagai Pelajar A, B, C, D dan E didakwa menggunakan kata-kata kesat terhadap Zara. Mereka mengaku tidak bersalah dan kes itu kini masih berjalan di Mahkamah Bagi Kanak-Kanak.



