Oleh Erdie Ab Wahid
KOTA KINABALU: Kerajaan Persekutuan yakin pelaksanaan subsidi diesel bersasar tidak akan menjejaskan rakyat di kawasan pedalaman Sabah berikutan penggunaan sistem yang telah dibangunkan serta mengambil kira keperluan pengguna di seluruh negara.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, mekanisme baharu itu akan menggunakan pendekatan yang sama seperti pelaksanaan program berkaitan subsidi sebelum ini termasuk penggunaan MyKad sebagai kaedah pengesahan kelayakan.
Menurutnya, penggunaan MyKad bukan sesuatu yang asing bagi rakyat di negeri ini termasuk mereka yang tinggal di kawasan luar bandar dan pedalaman.
“Bila kita perkenalkan untuk RON95, kita buat seluruh negara, tidak ada beza antara Sabah dan Sarawak.
“Untuk penyelarasan subsidi diesel ini, kita akan gunakan sistem yang sama dengan apa yang kita buat untuk RON95 bagi seluruh negara,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri sesi taklimat media pelaksanaan pembaharuan penyasaran subsidi diesel di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, pada Selasa.
Hadir sama Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun.
Amir Hamzah berkata, keyakinan itu turut berdasarkan pengalaman kerajaan melalui pelaksanaan program Sumbangan Asas Rahmah (SARA), yang menggunakan mekanisme pengesahan melalui MyKad di kedai-kedai terpilih.
Katanya, di Sabah terdapat kira-kira 1,493 kedai SARA termasuk di kawasan pedalaman, membuktikan sistem berasaskan MyKad mampu digunakan dengan baik oleh rakyat.
“Sabah khususnya, penggunaan SARA adalah sangat tinggi. Ini menunjukkan di kawasan pedalaman pun penggunaan MyKad tidak menjadi masalah,” katanya.
Sementara itu, Amir Hamzah berkata, bagi pengguna diesel yang memerlukan tambahan kuota, mereka boleh membuat permohonan melalui portal yang disediakan atau mendapatkan bantuan pendaftaran di pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Beliau berkata, pengguna yang layak boleh memohon tambahan sehingga 100 liter sebulan berdasarkan keperluan masing-masing.
Dalam pada itu, Amir Hamzah berkata kerajaan juga menyediakan pendekatan khas melalui BUDI Agro-Komoditi bagi membantu petani dan pekebun kecil termasuk di Sabah.
Katanya, kerajaan akan bekerjasama dengan kementerian berkaitan serta kerajaan negeri bagi mengenal pasti golongan yang layak menerima bantuan.
Beliau berkata, pendekatan itu penting bagi memastikan subsidi diesel benar-benar disasarkan kepada golongan yang memerlukan dan bukan dinikmati pihak yang tidak layak.
“Matlamat kita ialah memastikan rakyat yang memerlukan mendapat bantuan, selain mengurangkan ketirisan subsidi diesel yang berlaku,” katanya. – SABAH MEDIA



