HomeUtamaAKPS tidak jejas kuasa Sabah, hak MA63 kekal terpelihara

AKPS tidak jejas kuasa Sabah, hak MA63 kekal terpelihara

Read Time:3 Minute, 5 Second

KUALA LUMPUR: Kerajaan Persekutuan memberi jaminan bahawa pelaksanaan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) tidak akan menghakis kuasa Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak, termasuk hak-hak istimewa yang termaktub di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, jaminan itu telah diberikan kepada kedua-dua kerajaan negeri sebelum Rang Undang-Undang AKPS dibentangkan dan diluluskan di Parlimen.

Menurut beliau, AKPS yang mula beroperasi pada 1 Januari 2025 hanya melibatkan agensi-agensi Kerajaan Persekutuan tanpa menjejaskan bidang kuasa, perjawatan atau sumber manusia di bawah kerajaan negeri.

“Pelaksanaan AKPS tidak menghakis sebarang kuasa Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak, termasuk hak-hak istimewa seperti yang termaktub dalam MA63.

“Ia juga tidak menyentuh aspek perjawatan serta sumber manusia kerajaan negeri dan tidak mengambil hasil yang menjadi hak kerajaan negeri di pintu-pintu masuk,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan lisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (Semporna) mengenai status terkini operasi AKPS di Sabah dan Sarawak pada Persidangan Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Saifuddin berkata, kerajaan turut memberi jaminan bahawa kuasa imigresen Sabah kekal seperti sedia ada termasuk arahan sekatan kemasukan atau ‘not to land’ yang dikeluarkan oleh Ketua Menteri Sabah.

Katanya, walaupun AKPS diwujudkan, kuasa tersebut masih dilaksanakan melalui mekanisme sedia ada melibatkan Jabatan Ketua Menteri dan Jabatan Imigresen Malaysia.

“Kuasa penguatkuasaan agensi negeri juga kekal. Sekiranya berlaku pelanggaran di pintu masuk yang melibatkan bidang kuasa kerajaan negeri, agensi terbabit masih boleh menjalankan siasatan dan pendakwaan seperti yang dilaksanakan ketika ini,” katanya.

Beliau berkata, beberapa pintu masuk utama di Sabah kini berada di bawah seliaan AKPS termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, Lapangan Terbang Tawau dan Sandakan.

Turut berada di bawah AKPS ialah Dermaga Tawau, Kota Kinabalu, Sandakan, Kudat, Lahad Datu dan Kuala Sipitang.

Bagaimanapun, katanya, Kerajaan Negeri Sabah telah mengemukakan beberapa cadangan penambahbaikan termasuk permintaan supaya beberapa pintu masuk tertentu terus dikendalikan oleh Jabatan Imigresen Malaysia.

Menurut beliau, Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang mengadakan perbincangan lanjut dengan kerajaan negeri bagi memperhalusi perkara tersebut.

“Tiada perbezaan dasar mengenai keperluan mewujudkan AKPS. Apa yang dibangkitkan adalah soal pelaksanaan dan operasi yang mungkin memerlukan sedikit penambahbaikan atau ‘fine-tuning’.

“Malah, jika perlu, kerajaan bersedia meneliti cadangan pindaan terhadap beberapa peruntukan akta bagi memberikan kejelasan yang lebih baik,” katanya.

Menjawab soalan tambahan Mohd Shafie berhubung kebimbangan terhadap Perlembagaan Persekutuan dan MA63, Saifuddin menegaskan hak Sabah dan Sarawak akan terus dihormati.

Beliau berkata, AKPS diwujudkan bagi memperkemaskan kawalan sempadan, memudahkan pergerakan orang dan barangan, meningkatkan integriti, memperkukuh kutipan hasil serta mempertingkat aspek keselamatan negara.

“Undang-undang bersifat dinamik. Jika terdapat perkara yang perlu ditambah baik selepas menerima maklum balas daripada pihak berkepentingan, kerajaan terbuka untuk menelitinya,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Saifuddin berkata kerajaan turut memperkukuh aspek keselamatan AKPS susulan insiden ancaman terhadap pegawai agensi itu di Bukit Kayu Hitam baru-baru ini.

Beliau berkata, Perdana Menteri telah meluluskan peruntukan segera sebanyak RM22 juta bagi melengkapkan AKPS dengan persenjataan dan kelengkapan yang bersesuaian.

Katanya, langkah itu penting memandangkan AKPS menghimpunkan anggota daripada pelbagai agensi yang sebelum ini tidak mempunyai latihan penggunaan senjata api.

Mengulas isu integriti, beliau berkata penubuhan AKPS mampu mengurangkan kerenah birokrasi dan ruang berlakunya rasuah apabila fungsi lebih 20 agensi di pintu masuk negara diselaraskan di bawah satu struktur operasi.

Saifuddin berkata, sepanjang tahun pertama operasinya, AKPS telah mencatat beberapa kejayaan termasuk menumpaskan cubaan penyeludupan dadah bernilai puluhan juta ringgit di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang serta mengekang kemasukan e-waste dan pelbagai barangan terlarang melalui pelabuhan utama negara.

“Jika ditanya sama ada AKPS bergerak ke arah yang betul, jawapannya ya. Jika terdapat keperluan untuk pindaan bagi menangani kebimbangan pihak berkepentingan, kita juga bersedia melakukannya.

“Apa yang penting ialah matlamat asal penubuhan AKPS dapat dicapai tanpa menjejaskan hak dan bidang kuasa kerajaan negeri,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Yayasan PETRONAS sokong penanaman 1,000 pokok sempena Hari Hutan Antarabangsa 2026

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular