PENAMPANG: Enam lelaki tempatan ditahan dalam satu operasi bersepadu membanteras penyalahgunaan dan pemilikan dadah yang dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJND) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang dengan kerjasama BSJND IPD Kota Kinabalu.
Operasi menerusi Ops Tapis itu dilaksanakan di beberapa lokasi sekitar daerah Penampang bermula malam 24 Jun hingga awal pagi 25 Jun lalu.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintenden Sammy Newton berkata, operasi berkenaan melibatkan sebuah kafe, kawasan sekitar pusat hiburan di Damai 118 Plaza, Kepayan Point serta sebuah unit kondominium di Nosoob.
Menurutnya, hasil operasi itu membawa kepada penahanan enam lelaki berusia antara 27 hingga 40 tahun yang disyaki terlibat dalam kesalahan berkaitan dadah.
“Hasil pemeriksaan dan siasatan, polis merampas cecair disyaki dadah jenis MDMA/psilocybin berjumlah 20.5 mililiter dengan anggaran nilai RM360 serta ganja seberat 5.41 gram bernilai kira-kira RM120.
“Jumlah keseluruhan rampasan dadah dianggarkan bernilai RM480,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati seorang daripada suspek dipercayai bertindak sebagai pembekal kepada beberapa individu lain yang ditahan dalam operasi tersebut.
Katanya, maklumat hasil tangkapan awal membawa kepada penahanan seorang lagi suspek bersama sejumlah kecil cecair disyaki dadah sebelum polis menjalankan serbuan susulan di sebuah kondominium.
“Serbuan itu membawa kepada penemuan ganja dan penahanan dua lagi suspek,” katanya.
Sammy berkata, hasil ujian saringan air kencing mendapati lima daripada enam suspek positif dadah jenis THC, manakala seorang lagi didapati negatif.
Selain itu, semakan rekod lampau turut mendapati beberapa suspek mempunyai rekod kesalahan berkaitan dadah.
Kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) dibaca bersama Seksyen 12(3) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dadah berbahaya, Seksyen 6 akta sama kerana memiliki ganja serta Seksyen 15(1)(a) kerana menggunakan dadah berbahaya.
Menurut beliau, Polis Daerah Penampang akan terus memperhebatkan operasi membanteras aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah, khususnya di kawasan pusat hiburan, premis perniagaan, kafe dan lokasi yang dikenal pasti menjadi tumpuan penagih serta pengedar dadah.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti pengedaran atau penyalahgunaan dadah diminta menyalurkannya kepada pihak polis bagi membantu usaha membanteras jenayah dadah demi memastikan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat.



