KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) berhadapan pergolakan dalaman menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor apabila Pengerusinya, Datuk Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar secara terbuka memberi amaran tegas kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) agar menghormati keputusan konsensus gabungan itu.
Teguran keras itu menyusul selepas Ahmad Samsuri melahirkan rasa kesal terhadap tindakan membawa perkara dalaman mesyuarat ke ruang awam, dipercayai merujuk kepada kenyataan media daripada Naib Presiden Bersatu, dua hari lalu.
Ahmad Samsuri menegaskan, PN adalah sebuah gabungan politik yang bergerak berdasarkan Perlembagaan serta disiplin organisasi, dan bukannya sebuah pentas untuk mana-mana parti bertindak sesuka hati.
”PN tidak boleh dijadikan medan untuk mana-mana parti memilih keputusan yang mahu diterima dan mempertikaikan ketetapan yang tidak selari dengan pendirian mereka,” kata Ahmad Samsuri dalam kenyataan media hari ini.
Jelas beliau, walaupun setiap parti anggota, termasuk Bersatu, mempunyai ruang sepenuhnya untuk membantah dan mempertahankan pendirian dalam mesyuarat, namun semua pihak wajib patuh apabila ketetapan rasmi telah dicapai.
”Saya kesal apabila perkara dalaman gabungan dibawa ke ruang awam selepas mesyuarat berakhir,” katanya.
Mengulas lanjut, Ahmad Samsuri turut memberi peringatan “tanggungjawab politik” berhubung penggunaan simbol PN dalam PRN Johor.
Beliau memberikan amaran bahawa penggunaan lambang gabungan itu bukan tiket mudah, sebaliknya datang bersama beban akuntabiliti yang berat.
”Mana-mana parti yang diberikan amanah bertanding menggunakan simbol PN hendaklah bertanggungjawab sepenuhnya terhadap pemilihan calon, gerak kerja pilihan raya, pengurusan kempen serta prestasi kerusi yang ditandingi,” katanya.
Dalam pada itu, beliau mengesahkan proses rundingan kerusi bagi menghadapi PRN Johor kini telah diselesaikan secara muafakat melalui mekanisme rasmi gabungan, dan beliau sendiri telah menandatangani watikah pelantikan calon-calon yang bertanding.
Sehubungan itu, beliau menuntut semua parti komponen dan jentera PN menghentikan perbalahan dan memberikan sepenuh tumpuan untuk menawarkan kepimpinan berintegriti demi memenangi hati rakyat Johor.



