KENINGAU: Ketua Wiranita Parti Solidariti Tanah Airku (STAR Sabah) Bahagian N.40 Bingkor yang juga Naib Exco Wiranita STAR Sabah, Jennifer Epil, mengumumkan peletakan jawatan dan penarikan diri daripada parti, berkuat kuasa serta-merta.
Jennifer berkata, keputusan itu turut disertai sebahagian Ahli Jawatankuasa Wiranita STAR Sabah Bahagian N.40 Bingkor yang sebulat suara memutuskan untuk keluar daripada parti selepas melalui pertimbangan yang teliti.
Menurutnya, keputusan berkenaan dibuat selepas mengambil kira pelbagai faktor, termasuk hala tuju perjuangan parti, aspirasi semasa serta ruang dan peranan wanita dalam landskap politik tempatan yang disifatkan tidak lagi selari dengan prinsip serta pendirian mereka.
Pada masa sama, beliau merakamkan penghargaan kepada kepimpinan STAR Sabah atas kepercayaan, peluang dan pengalaman yang diberikan sepanjang penglibatannya dalam parti.
Katanya, pengalaman tersebut banyak membentuk beliau dan rakan-rakan menjadi wanita yang lebih berani, bertanggungjawab serta peka terhadap kepentingan rakyat dan pembangunan Sabah.
Jennifer turut menegaskan bahawa pengundurannya daripada parti tidak bermakna perjuangannya untuk berkhidmat kepada masyarakat telah berakhir.
Sebaliknya, beliau berkata, beliau bersama rakan-rakan akan terus menyumbang kepada rakyat dalam kapasiti yang lebih sesuai, berkesan dan selaras dengan nilai serta prinsip perjuangan yang diyakini.



