KOTA KINABALU: Sabah Electricity Sdn Bhd (Sabah Electricity) akan melaksanakan catuan bekalan elektrik secara berjadual di beberapa kawasan di seluruh Sabah berikutan kekurangan kapasiti penjanaan dalam sistem grid negeri.
Menurut syarikat utiliti itu, keadaan tersebut berpunca daripada gangguan pada platform gas luar pesisir milik Petroliam Nasional Berhad (Petronas) yang menjejaskan bekalan gas kepada beberapa Penjana Kuasa Bebas (IPP), sekali gus mengurangkan kapasiti penjanaan elektrik dalam sistem grid Sabah.
Sabah Electricity memaklumkan, langkah catuan bekalan itu perlu dilaksanakan sebagai sebahagian daripada pengurusan sistem bagi memastikan kestabilan grid elektrik negeri dapat dikekalkan sementara kerja-kerja pemulihan kapasiti penjanaan sedang dijalankan.
“Sabah Electricity memahami kesulitan yang akan dialami pengguna akibat pelaksanaan catuan bekalan ini dan sedang berusaha sedaya upaya untuk meminimumkan tempoh gangguan.
“Maklumat terkini mengenai kawasan yang terlibat serta perkembangan semasa akan dimaklumkan dari semasa ke semasa menerusi Facebook rasmi Sabah Electricity Careline. Pengguna juga boleh menghubungi Sabah Electricity Careline di talian 15444 untuk sebarang pertanyaan,” menurut kenyataan media yang dikeluarkan hari ini.
Sabah Electricity turut memohon maaf atas segala kesulitan yang dialami serta menghargai kesabaran dan kerjasama semua pengguna sepanjang tempoh catuan bekalan.
Pengguna dinasihatkan supaya sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga yang sewajarnya serta mengikuti pengumuman rasmi yang dikeluarkan oleh Sabah Electricity dari semasa ke semasa.



