KOTA KINABALU : Operasi dan perkhidmatan di Hospital Queen Elizabeth (HQE) 1 kekal berjalan seperti biasa, walaupun terdapat peningkatan kehadiran pesakit serta waris pada waktu malam seperti yang tular di media sosial baru-baru ini.
Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) dalam kenyataan memaklumkan, ia termasuklah di Jabatan Kecemasan dan Trauma (ETD), ruang lobi, operasi kantin serta isu parkir di HQE 1.
Menurut JKNS, sistem rawatan di HQE adalah berasaskan sistem ‘triage’ yang mengutamakan tahap kecemasan pesakit, bukannya susunan nombor giliran.
“Ini bermaksud pesakit yang berada dalam keadaan kritikal akan diberikan rawatan segera, manakala kes kurang kritikal perlu menunggu mengikut penilaian klinikal.

“Pada malam kejadian yang tular, Jabatan Kecemasan dan Trauma beroperasi secara normal dengan aliran pesakit yang berterusan, termasuk di Zon Hijau yang mencatatkan 42 pesakit dalam tempoh 9 malam hingga 10 pagi dengan dua pegawai perubatan bertugas,” menurut kenyataan itu di sini pada Isnin.
Sementara itu, kehadiran waris dan individu di ruang lobi HQE 1 yang berehat serta tidur di ruang lobi hospital, JKNS memaklumkan bahawa semakan awal mendapati mereka terdiri daripada waris dan penjaga pesakit, bukan pesakit yang menunggu rawatan kecemasan.
Kebanyakan mereka datang dari kawasan luar bandar dan pedalaman yang jauh, serta berdepan kesukaran mendapatkan penginapan sementara di luar kawasan hospital.
JKNS menjelaskan bahawa HQE mempunyai balai pelawat, namun kapasiti sedia ada masih tidak mencukupi untuk menampung jumlah waris yang ramai dalam satu-satu masa.
Dalam pada itu, JKNS turut menjelaskan bahawa kemudahan kantin di HQE beroperasi 24 jam sehari bagi kemudahan pesakit dan waris.
Namun, operasi kantin ditutup sementara setiap hari Sabtu dari jam 12 tengah malam hingga 5 pagi bagi tujuan kerja pembersihan dan penyelenggaraan berjadual.
JKNS turut mengakui bahawa kemudahan parkir di kawasan hospital boleh menjadi terhad pada waktu tertentu, terutama ketika jumlah pengunjung dan pesakit meningkat secara serentak.
Sehubungan itu, pihak hospital akan terus memperkukuh pengurusan trafik dan kerjasama keselamatan bagi memastikan aliran keluar masuk kenderaan lebih teratur.
JKNS menegaskan bahawa pihaknya sentiasa komited untuk menambah baik pengurusan ruang awam, khususnya di kawasan lobi dan laluan hospital pada waktu malam, di samping mempertingkatkan komunikasi kepada orang awam mengenai sistem rawatan di jabatan kecemasan.
Usaha ini turut merangkumi penyelarasan semula maklumat operasi kantin serta penambahbaikan pengurusan kemudahan sedia ada demi keselesaan pesakit dan waris.
JKNS menegaskan bahawa keutamaan utama adalah memastikan perkhidmatan kesihatan yang selamat, efisien dan berterusan kepada semua rakyat Sabah tanpa kompromi terhadap aspek kualiti rawatan.



