HomeUtamaKESUMA digesa gariskan pelan jangka panjang kurangkan pengangguran di Sabah

KESUMA digesa gariskan pelan jangka panjang kurangkan pengangguran di Sabah

Read Time:1 Minute, 37 Second

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Matbali Musah menggesa Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) memperincikan perancangan jangka panjang bagi mengurangkan kadar pengangguran di Sabah, khususnya dalam kalangan belia dan graduan.

Ketika membahaskan Rang Undang-Undang Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) di Dewan Rakyat hari ini, beliau berkata kerajaan negeri telah melaksanakan pelbagai inisiatif bagi menangani isu pengangguran yang masih menjadi cabaran utama di negeri itu.

Menurutnya, Kerajaan Negeri melalui Kementerian Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi (KPSTI) Sabah sedang giat melaksanakan program padanan kerja serta Jelajah Pendidikan Perburuhan di seluruh negeri bagi meningkatkan kebolehpasaran pencari kerja.

“Cabaran utama ketika ini ialah jurang antara kemahiran pencari kerja, khususnya belia dan graduan, dengan keperluan industri digital serta industri bernilai tinggi yang sedang berkembang di Sabah,” katanya.

Matbali berkata, berdasarkan laporan terkini Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) yang diterbitkan pada Mei dan Jun 2026, pasaran buruh di Sabah menunjukkan perkembangan positif dengan kadar pengangguran terus mencatatkan penurunan.

Beliau berkata, kadar pengangguran di Sabah bagi suku pertama 2026 menurun kepada 5.5 peratus berbanding enam peratus pada suku keempat tahun lalu.

“Meskipun kadar ini masih lebih tinggi berbanding purata nasional yang berada sekitar 2.9 peratus, namun ia menunjukkan trend penurunan yang konsisten dan memberangsangkan.

“Selepas pandemik COVID-19 pada 2021, kadar pengangguran di Sabah berada pada paras 8.2 peratus sebelum menurun kepada 7.6 peratus pada 2024, kemudian enam peratus pada suku keempat 2025 dan kini terus berkurang kepada 5.5 peratus pada suku pertama tahun ini,” katanya.

Dalam pada itu, Matbali turut menyatakan sokongan penuh terhadap Rang Undang-Undang Sistem Insurans Pekerjaan (SIP), yang menurutnya berperanan sebagai jaringan perlindungan penting kepada pekerja yang kehilangan pekerjaan.

Beliau berkata, pelaksanaan SIP menerusi Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) membuktikan komitmen kerajaan dalam memastikan kebajikan pekerja yang terkesan akibat kehilangan sumber pendapatan terus terbela.

“Saya percaya rang undang-undang ini akan memperkukuh lagi jaringan keselamatan sosial negara serta memberi keyakinan kepada pekerja bahawa mereka tidak akan dibiarkan berdepan kesukaran bersendirian sekiranya kehilangan pekerjaan,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Sabah perkukuh pemuliharaan biodiversiti melalui strategi jangka panjang dan pendigitalan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular