MATUNGGONG: Usaha membendung perkahwinan awal kanak-kanak perlu terus diperkukuhkan kerana isu itu bukan sahaja memberi kesan kepada individu dan keluarga, malah turut menjejaskan pembangunan modal insan serta masa depan negeri.
Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Julita Majungki, berkata setiap kanak-kanak berhak menikmati peluang untuk belajar, membina kemahiran dan mengembangkan potensi diri sebelum memikul tanggungjawab berkeluarga.
Menurutnya, perkahwinan awal bukan sekadar isu angka atau statistik, sebaliknya melibatkan masa depan anak-anak yang sepatutnya diberi ruang untuk meneruskan pendidikan dan membina kehidupan yang lebih baik.
“Perkahwinan awal bukan sekadar soal angka atau statistik. Apa yang lebih penting ialah memastikan anak-anak kita mempunyai peluang untuk meneruskan pendidikan, membina masa depan yang lebih baik dan menjadi modal insan yang mampu menyumbang kepada pembangunan Sabah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Kesedaran Menangani Isu Perkahwinan Awal Kanak-Kanak (MIPA) Daerah Matunggong di sini, baru-baru ini.

Julita berkata, anak-anak yang diberi peluang untuk terus belajar dan membangunkan kemahiran diri berpotensi menjadi generasi yang lebih berdaya saing, berilmu dan mampu menyumbang dalam pelbagai sektor pembangunan negeri.
Katanya, usaha membendung perkahwinan awal juga selari dengan agenda pemerkasaan wanita, khususnya dalam memastikan lebih ramai kanak-kanak perempuan dapat meneruskan pendidikan, membina keyakinan diri serta meningkatkan peluang dalam bidang ekonomi, kepimpinan dan keusahawanan pada masa hadapan.
“Apabila kanak-kanak perempuan diberi peluang untuk belajar dan membina potensi diri, mereka bukan sahaja mampu mengubah kehidupan sendiri, malah berupaya menjadi pemimpin, usahawan dan penyumbang kepada pembangunan masyarakat serta negeri,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa usaha menangani isu berkenaan memerlukan kerjasama semua pihak termasuk ibu bapa, guru, pemimpin masyarakat, institusi pendidikan, agensi kerajaan dan komuniti setempat.
Menurutnya, melindungi kanak-kanak dan memastikan mereka dapat mengejar cita-cita serta membina masa depan yang lebih cerah adalah tanggungjawab bersama, manakala pelaburan terhadap anak-anak hari ini merupakan pelaburan kepada masa depan Sabah.
Program MIPA merupakan inisiatif berterusan Jabatan Hal Ehwal Wanita (JHEWA) Sabah yang memberi tumpuan kepada pendidikan dan advokasi berkaitan implikasi perkahwinan awal kanak-kanak melalui komponen psikologi asas, literasi perundangan serta kesihatan diri dan sistem reproduktif.
Turut hadir, Pengarah JHEWA Sabah, Haslina Ismail.



