HomeUtamaPeniaga didenda RM3,500 jual ayam masak lemak tercemar

Peniaga didenda RM3,500 jual ayam masak lemak tercemar

Read Time:1 Minute, 38 Second

Oleh J Evachel John

KOTA KINABALU: Seorang peniaga didenda RM3,500 atau dua bulan penjara oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah menjual ayam masak lemak yang dikesan tercemar dengan bakteria Staphylococcus aureus.

Tertuduh, Salbiah Laturu, 33, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Wan Farrah Farriza Wan Ghazali.

Mengikut pertuduhan, Salbiah didapati menjual makanan sedia dimakan iaitu ayam masak lemak yang dikesan tercemar dengan mikroorganisma patogenik Staphylococcus aureus di Gerai Bazar Ramadan Nasi Bujang Berlauk Abe Wie, Kepayan Point, pada 23 Februari lalu, jam 4.50 petang.

Menurut Peraturan 39(2) Peraturan-Peraturan Makanan 1985, tiada seorang pun boleh menjual apa-apa makanan yang sedia untuk dimakan yang lelah tercemar dengan mikroorganisma patogenik.

Dengan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Peraturan 39(2) yang dibaca bersama Peraturan 397(1), Peraturan-Peraturan Makanan 1985 dan boleh dihukum di bawah Peraturan 397(2) peraturan yang sama.

Hukuman bagi kesalahan ini memperuntukkan denda sehingga RM10,000 atau penjara sehingga dua tahun, jika sabit kesalahan.

Pegawai Pendakwa Jabatan Kesihatan, Rals Benjamin Yakod, yang mengendalikan pendakwaan, memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal sebagai peringatan kepada pengendali makanan lain supaya mematuhi peraturan yang telah ditetapkan demi melindungi kesihatan awam.

Rals berkata bakteria Staphylococcus aureus merupakan sejenis mikroorganisma patogenik berbahaya yang menghasilkan toksin kalis haba.

Beliau berkata makanan yang tercemar seperti ‘ayam masak lemak’ dalam kes ini, boleh mengakibatkan keracunan makanan yang teruk, cirit-birit kronik, muntah-muntah, kekejangan perut, dan dalam situasi ekstrem melibatkan kanak-kanak atau warga emas, ia boleh membawa kepada dehidrasi kritikal serta membawa maut.

Menurutnya, insiden keracunan makanan di Malaysia kekal sebagai salah satu isu kesihatan awam yang membimbangkan.

Katanya, majoriti kes berpunca daripada pengendalian makanan yang tidak bersih serta kegagalan mengekalkan rantaian suhu makanan yang betul, sekali gus menggalakkan pembiakan bakteria Staphylococcus aureus.

“Pada 2025, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merekodkan sebanyak 12, 821 kes keracunan makanan manakala pada 2024 sebanyak 707 wabak keracunan makanan berlaku di seluruh negara,” katanya.

Tertuduh telah membayar denda.

RELATED ARTICLES
Utama

Kaji semula syarat BUDI Diesel bantu pengusaha muda sektor pertanian –...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular