HomeUtamaKaji semula syarat BUDI Diesel bantu pengusaha muda sektor pertanian - Jamawi

Kaji semula syarat BUDI Diesel bantu pengusaha muda sektor pertanian – Jamawi

Read Time:3 Minute, 14 Second

KIULU: Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Jamawi Jaafar menggesa syarat kelayakan Program BUDI Diesel dikaji semula bagi membolehkan lebih ramai pengusaha muda dalam sektor pertanian, penternakan dan industri makanan menikmati subsidi diesel yang disediakan kerajaan.

Beliau berkata, antara isu utama yang dibangkitkan ialah ramai pengusaha muda tidak layak memohon bantuan itu kerana kenderaan yang digunakan untuk aktiviti pertanian tidak didaftarkan atas nama sendiri.

Menurutnya, keadaan itu berlaku apabila sebahagian pengusaha, khususnya di luar bandar, memperoleh kenderaan menerusi kaedah sambung bayar atau pembiayaan syarikat, bukannya institusi perbankan.

“Kita sedia maklum hanya mereka yang mempunyai hak milik kenderaan dan lesen yang sah boleh menuntut BUDI Diesel.

“Namun di peringkat akar umbi, ramai pengusaha muda membeli kenderaan melalui sambung bayar atau pinjaman syarikat. Ada juga petani yang tidak mempunyai akaun bank tetapi mampu membayar ansuran bulanan kenderaan yang digunakan untuk aktiviti pertanian,” katanya kepada pemberita selepas Program Jelajah Kebun Dapur di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kiulu, hari ini.

Jamawi berkata, terdapat juga pengusaha yang mendapatkan pembiayaan berdasarkan hasil jualan komoditi seperti getah, namun hak milik kenderaan masih didaftarkan atas nama syarikat pembiayaan dan belum boleh dipindahkan kepada pengguna sebenar.

“Ini antara kegusaran yang dibangkitkan oleh anak-anak muda. Kita sudah menggalakkan mereka terbabit dalam sektor pertanian, penanaman padi, penorehan getah dan pelbagai aktiviti lain.

“Apabila mereka tidak layak menerima BUDI Diesel, sedikit sebanyak ia melemahkan semangat mereka untuk terus mengusahakan sektor ini,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan Kementerian Kewangan serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bagi membincangkan isu berkenaan, selain menyampaikan maklum balas daripada pengusaha di Sabah.

“Saya juga akan melibatkan semua agensi pertanian negeri dan Persekutuan untuk berdialog serta menyampaikan isu ini kepada kerajaan supaya usaha anak-anak muda dalam sektor pertanian terus dibantu dan diperkasakan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Jamawi berkata, kementeriannya sedang meneliti cadangan memperkenalkan konsep Kebun Dapur di sekolah bagi meningkatkan kesedaran mengenai keterjaminan makanan dalam kalangan murid.

Beliau berkata, perbincangan bersama Jabatan Pendidikan Negeri Sabah telah diadakan susulan cadangan mewujudkan Kebun Sekolah berasaskan pendekatan Kebun Dapur.

“Kita mahu anak-anak memahami kepentingan makanan dan keterjaminan makanan sejak di bangku sekolah rendah lagi.

“Melalui inisiatif ini, mereka bukan sahaja dapat menghargai tanaman di sekeliling mereka, malah hasil yang diperoleh juga boleh dimanfaatkan oleh pihak sekolah,” katanya.

Menurutnya, cadangan itu menerima maklum balas positif daripada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta pihak sekolah dan akan dilaksanakan secara berperingkat mengikut peruntukan yang disediakan.

Mengulas Program Kebun Dapur, Jamawi berkata, sambutan yang diterima amat menggalakkan apabila lebih 3,000 pengusaha kecil mengusahakan kebun di sekitar kediaman masing-masing dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Katanya, jumlah itu hampir mencapai sasaran lima tahun program berkenaan iaitu 5,000 peserta.

“Saya melihat mereka sangat bersemangat sehingga berkongsi hasil Kebun Dapur masing-masing di media sosial.

“Justeru, saya bercadang memperkenalkan Anugerah Kebun Dapur Terbaik bagi menghargai usaha mereka dan menjadi inspirasi kepada lebih ramai masyarakat untuk menyertai program ini,” katanya.

Beliau berkata, anugerah itu dijangka diperkenalkan sempena Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Peringkat Negeri Sabah yang dijadual berlangsung di Tenom pada September ini.

Pada masa sama, Jamawi berkata, Jelajah Kebun Dapur akan diperluaskan ke seluruh Sabah sebagai platform menyampaikan maklumat berkaitan bantuan, insentif dan program pembangunan pertanian kepada masyarakat.

Katanya, program itu bukan sahaja menggalakkan budaya berkebun di kawasan rumah, malah memastikan maklumat mengenai pelbagai bantuan kerajaan dapat disampaikan terus kepada golongan sasar.

“Banyak program bantuan disediakan oleh kementerian dan jabatan di bawahnya, tetapi kadangkala maklumat itu tidak sampai kepada rakyat. Sebab itu jelajah ini penting supaya setiap petani, penternak dan nelayan mengetahui peluang yang disediakan kerajaan,” katanya.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kiulu, Datuk Joniston Bangkuai; Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah (MAFFI), Awg. Dzulkernain Awg. Hassan; Pengurus Besar KO-NELAYAN, Datuk Yusof Ag Besar; Pegawai Daerah Pejabat Daerah Kecil Kiulu, Leprus Esuvas Giswa; pegawai jabatan dan agensi kerajaan serta pemimpin setempat.

RELATED ARTICLES
Utama

Peniaga didenda RM3,500 jual ayam masak lemak tercemar

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular