HomeUtamaMoU pembangunan Tuaran, Keningau sokong sasaran GDP Sabah RM120 bilion

MoU pembangunan Tuaran, Keningau sokong sasaran GDP Sabah RM120 bilion

Read Time:2 Minute, 48 Second

KOTA KINABALU: Dua memorandum persefahaman (MoU) yang dimeterai hari ini dijangka menjadi pemangkin baharu kepada pembangunan ekonomi Sabah menerusi projek pembangunan bercampur di Tuaran dan cadangan pembangunan industri tenusu berskala besar di Keningau.

Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Jamawi Jaafar berkata, inisiatif itu selaras dengan aspirasi Halatuju Sabah Maju Jaya 2.0 (SMJ 2.0) yang menyasarkan peningkatan Keluaran Dalam Negeri Kasar (GDP) negeri daripada RM85 bilion ketika ini kepada RM120 bilion setahun.

Menurutnya, sasaran itu memerlukan usaha bersepadu melibatkan kerajaan, sektor swasta, agensi berkanun dan rakyat Sabah, selain mempercepatkan kepelbagaian ekonomi daripada pergantungan kepada sumber asli kepada industri bernilai tambah tinggi.

“Ini bukan sekadar angka di atas kertas, tetapi satu wawasan besar yang memerlukan usaha bersepadu daripada kerajaan, sektor swasta, agensi berkanun dan rakyat Sabah.

“Untuk mencapai sasaran itu, kita perlu mempercepatkan kepelbagaian ekonomi negeri daripada pergantungan tradisional kepada sumber asli kepada industri bernilai tambah tinggi seperti pembangunan hartanah bercampur, perindustrian serta pertanian moden termasuk industri tenusu,” katanya ketika berucap pada Majlis Menandatangani MoU di sini, pada Khamis.

MoU pertama melibatkan Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) dan K.T.I. Sdn. Bhd. bagi meneroka cadangan pembangunan bercampur seluas 500 ekar di Tuaran yang merangkumi lot kedai, rumah teres, apartmen dan kawasan perindustrian.

Jamawi berkata, cadangan itu mempunyai potensi besar memandangkan kedudukan strategik Tuaran sebagai laluan utama ke utara dan pantai timur Sabah.

“Saya amat menyokong cadangan ini kerana kedudukan strategik Tuaran sebagai laluan utama ke utara dan pantai timur Sabah menjadikannya berpotensi besar sebagai pusat persinggahan dan pertumbuhan ekonomi baharu, khususnya bagi sektor pelancongan dan perkhidmatan,” katanya.

MoU kedua pula melibatkan kerjasama antara LIGS, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah (DVS Sabah) dan Farm Fresh Berhad bagi meneroka pembangunan ladang tenusu komersial berskala besar menerusi projek Keningau Dairy Valley.

Menurut Jamawi, projek itu bakal membawa pelaburan swasta dan kepakaran teknikal untuk memperkukuh industri tenusu tempatan, meningkatkan kadar sara diri pengeluaran susu segar, daging serta produk tenusu, di samping membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan latihan kepada penternak serta rakyat Sabah.

Beliau berkata, walaupun kedua-dua MoU itu masih di peringkat hasrat dan belum menjadi komitmen muktamad, ia merupakan langkah awal yang penting ke arah pelaksanaan projek berimpak tinggi kepada negeri.

“Jika direalisasikan dengan jayanya, ia bukan sahaja akan merancakkan ekonomi di peringkat daerah iaitu Tuaran dan Keningau, malah turut menyumbang secara signifikan ke arah sasaran besar SMJ 2.0 untuk mencecah GDP RM120 bilion setahun.

“Ini membuktikan bahawa Sabah bukan sahaja kaya dengan sumber semula jadi, tetapi juga semakin matang dalam menarik pelaburan strategik yang pelbagai daripada sektor hartanah dan perindustrian sehinggalah pertanian serta penternakan moden,” katanya.

Jamawi turut meminta K.T.I. memulakan kajian kesesuaian pembangunan di lapangan dengan segera dan membentangkan hasil kajian serta nilai pelaburan kepada kerajaan negeri dalam masa terdekat.

Beliau berkata, LIGS perlu memastikan proses kerja di lapangan berjalan lancar, teratur dan telus, manakala Farm Fresh serta DVS Sabah digesa mempercepatkan pemuktamadan kerjasama dengan mengambil kira kepentingan penternak tempatan, kelestarian alam sekitar dan kebajikan haiwan.

“Kerjasama ini diharap dapat menjadikan Sabah sebagai peneraju baharu industri tenusu negara,” katanya.

Menurutnya, kedua-dua MoU itu melambangkan semangat Sabah Maju Jaya sebagai negeri yang terbuka kepada pelaburan dan sentiasa meneroka peluang baharu demi kesejahteraan rakyat.

“Saya yakin dengan kerjasama erat antara kerajaan, agensi dan sektor swasta, wawasan besar yang kita tetapkan bersama bukan lagi sekadar impian, tetapi satu realiti yang semakin hampir untuk kita kecapi bersama,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Padah curi elektrik, lelaki didenda RM8,000

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular