HomeUtamaPM raikan 1,000 pengamal media pada MWM 2026, Hadiah Kajai jadi tumpuan

PM raikan 1,000 pengamal media pada MWM 2026, Hadiah Kajai jadi tumpuan

Read Time:1 Minute, 45 Second

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual menghadiri Malam Wartawan Malaysia (MWM) 2026 dan Hadiah Kewartawanan Malaysia (HKM) MPI-PETRONAS 2025 yang akan berlangsung di Hotel The Majestic Kuala Lumpur pada 17 Julai ini.

Majlis anjuran Malaysian Press Institute (MPI) itu dijangka menghimpunkan kira-kira 1,000 tetamu terdiri daripada ketua pengarang, editor, wartawan, pengamal media, wakil kementerian dan agensi kerajaan, syarikat korporat, institusi pengajian tinggi serta rakan strategik industri media.

Bertemakan “Newsroom”, MWM 2026 mengangkat bilik berita sebagai nadi kewartawanan yang terus memainkan peranan penting dalam memastikan setiap laporan disemak, disahkan dan diterbitkan secara beretika, meskipun industri media kini berdepan perubahan pesat susulan perkembangan platform digital, media sosial dan teknologi kecerdasan buatan (AI).

Ketua Pegawai Eksekutif MPI, Dr Ainol Amriz Ismail berkata, kehadiran Perdana Menteri mencerminkan penghargaan kerajaan terhadap peranan media sebagai rakan strategik dalam pembangunan negara dan pembentukan masyarakat yang bermaklumat.

“Malam Wartawan Malaysia bukan sekadar majlis penghargaan, tetapi simbol pengiktirafan kepada profesionalisme, keberanian dan integriti wartawan dalam melaksanakan tanggungjawab kepada masyarakat.

“Dalam era lambakan maklumat dan teknologi AI, kewartawanan yang beretika serta berasaskan fakta menjadi semakin penting bagi mengekalkan kepercayaan rakyat terhadap media,” katanya.

Kemuncak majlis ialah penyampaian Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI-PETRONAS 2025, anugerah kewartawanan paling berprestij di negara ini yang mengiktiraf karya terbaik dalam 21 kategori meliputi media cetak, penyiaran, radio, multimedia, fotografi, dokumentari, kewartawanan penyiasatan, kewartawanan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), serta beberapa kategori lain.

Perdana Menteri turut dijadual menyampaikan Hadiah Kajai, pengiktirafan tertinggi kepada wartawan yang menghasilkan karya paling cemerlang dan berimpak.

HKM MPI-PETRONAS 2025 menerima tajaan utama PETRONAS berjumlah RM450,000, sekali gus mencerminkan komitmen berterusan sektor korporat dalam memperkukuh ekosistem kewartawanan serta pembangunan media berkualiti di Malaysia.

Pada majlis sama, Perdana Menteri turut meraikan penulis buku Di Sebalik Tabir Kerjaya Wartawan, terbitan khas MPI yang menghimpunkan pengalaman 23 pengamal media daripada pelbagai organisasi sebagai dokumentasi perjalanan profesion kewartawanan dan warisan ilmu kepada generasi akan datang.

Malam Wartawan Malaysia merupakan acara tahunan paling berprestij anjuran MPI yang menjadi platform menghargai sumbangan pengamal media, mengiktiraf kecemerlangan kewartawanan serta memperkukuh hubungan strategik antara industri media, kerajaan dan sektor korporat.

RELATED ARTICLES
Utama

Tiada elemen ‘masking’ pada Zara

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular