HomeUtamaSambut Aidilfitri Dengan Norma Baharu - Hajiji

Sambut Aidilfitri Dengan Norma Baharu – Hajiji

Read Time:2 Minute, 7 Second

Rakyat di Sabah perlu memahami tindakan kerajaan menguatkuasakan sekatan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) atau Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sepanjang Aidilfitri yang disambut esok.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Noor, dalam perutusan Aidilfitri menjelaskan setiap tindakan itu adalah bersebab, terutama bagi mengekang dan memutuskan rantaian penularan pandemik COVID-19.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan rakyat negeri itu supaya terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan sepanjang sambutan Aidilfitri kali ini.

“Kita juga kena akur bahawa penularan pandemik ini menyebabkan tiada lagi sambutan seperti dulu yang mana kita bebas untuk bersalam dan mengunjungi rumah terbuka saudara serta rakan. Tiada jalan lain, sebaliknya kita harus meraikan Aidilfitri dengan mematuhi SOP.

“Walaupun begitu, seperti perayaan lain, Aidilfitri akan terus menjadi tonggak perpaduan dan diraikan tanpa mengira bangsa serta agama. Semoga kita semua kekal selamat dan begitu juga orang di sekeliling kita,” katanya, di sini.

Sabah mengekalkan syarat SOP PKPB dengan menguatkuasakan larangan merentas daerah bermula kelmarin, namun membenarkan solat sunat Aidilfitri mengikut kapasiti masjid dengan mengambil kira penjarakan fizikal.

Hajiji berkata, walaupun tahun ini adalah kali kedua sambutan Aidlfitri diraikan dalam suasana norma baharu, ia bukan penghalang untuk menghayati makna perayaan itu.

Beliau turut mengajak rakyat negeri ini supaya tidak melupakan pengorbanan barisan hadapan dalam memerangi penularan COVID-19.

“Begitu juga anggota pasukan keselamatan kita yang tidak dapat bersama keluarga pada Aidilfitri ini, kerana bertugas melindungi negara. Kita berdoa mereka dijauhkan daripada bahaya dan kita amat berterima kasih di atas perkhidmatan yang diberikan,” katanya.

Dalam pada itu, Hajiji juga mengingatkan rakyat Sabah supaya tiada yang ketinggalan menerima suntikan vaksin COVID-19 dalam usaha mengawal penularan pandemik dan memulihkan ekonomi negeri.

Setakat semalam, katanya, seramai 56,263 individu sudah menerima dos pertama suntikan COVID-19 di Sabah, manakala seramai 50,315 orang menerima dos kedua menerusi fasa pertama Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.

Bagi fasa dua, seramai 29,603 individu sudah menerima suntikan dos pertama vaksin, manakala seramai 483,901 individu mendaftar sebagai penerima vaksin di Sabah setakat ini.

Sementara itu, Hajiji yang juga Menteri Kewangan negeri, berkata kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang diterajuinya sejak September lalu kini berada di landasan yang betul untuk melaksanakan semua pelan pembangunan yang dirancang.

“Halatuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang dilancarkan sebelum Ramadan, sudah mula membuahkan hasil dengan beberapa pelaburan asing dan tempatan akan beroperasi di negeri ini. Dengan kerjasama semua pihak, saya yakin matlamat Halatuju SMJ dapat dicapai dalam masa lima tahun,” katanya.

Halatuju SMJ memfokuskan tiga sektor utama pertumbuhan ekonomi Sabah iaitu pertanian, perindustrian dan pelancongan, selain modal insan dan kesejahteraan rakyat, jaringan infrastruktur dan kelestarian hijau.

RELATED ARTICLES
Utama

Cubaan seludup minuman keras bernilai RM450,000, duti, cukai lebih RM1.9 juta...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya