Polis Rangka Operasi Besar-Besaran Musnahkan Persembunyian Pengganas

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 45 Second

Polis akan melipatgandakan usaha mengatasi kehadiran kumpulan pengganas di negeri ini dengan meningkatkan kawalan keselamatan selain menjalankan pemantauan di kawasan setinggan.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hazani Ghazali berkata tindakan ini adalah bagi memastikan kawasan setinggan yang berpotensi dijadikan tempat persembunyian kumpulan pengganas ini diawasi setiap masa.

“Kita sudah ada perancangan sedia ada berkenaan isu kawasan setinggan termasuk menjalinkan kerjasama dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk merobohkan serta-merta kawasan penempatan setinggan membabitkan pengganas.

“Kita sudah merangka operasi besar-besaran selepas ini untuk memburu dan memusnahkan kawasan yang dijadikan tempat persembunyian kumpulan pengganas ini,” katanya.

Beliau bagaimanapun berkata operasi di kawasan setinggan agak terbatas buat masa ini berikutan keadaan pandemik COVID-19 dan sebaik tiba masa sesuai operasi itu akan dilancarkan serta merta.

Terdahulu Hazani memaklumkan bahawa arahan sudah disampaikan kepada semua ketua polis daerah di negeri ini supaya terus menjalankan pemantauan ketat di kawasan masing-masing terutama setinggan haram.

Katanya, masyarakat juga terutamanya Ketua Kampung serta Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) turut digesa untuk bekerjasama rapat dengan pasukan keselamatan dengan menyalurkan sebarang maklumat di kawasan masing-masing.

“Ketua kampung dan JPKK lebih mengenali setiap individu di kampung mereka. Sekiranya mereka ada mengesyaki sesuatu atau perkara luar biasa di kawasan mereka laporkan segera kepada pihak berkuasa.

“Begitu juga dengan syarikat kontraktor atau pengurusan kilang-kilang supaya lebih berhati-hati dengan individu yang diambil bekerja bagi memastikan tiada kaitan dengan kegiatan pengganas,” katanya.

Hazani berkata, masyarakat tidak perlu takut untuk menyalurkan sebarang maklumat kerana pihak berkuasa akan mengambil tindakan sewajarnya.

Katanya, Sabah mempunyai ordinan khas untuk ketua kampung mengambil tindakan seperti melaporkan kepada pihak berkuasa.

Sebelum ini, seramai lapan individu termasuk dua dalam senarai orang dikehendaki membabitkan kumpulan militan Abu Sayyaf ditahan dalam serbuan di kawasan paya bakau berhampiran Taman Sri Arjuna, Beaufort, 8 Mei lalu.

Susulan daripada itu, siasatan terus giat dijalankan polis sebelum lima lagi ahli kumpulan pengganas terbabit berjaya ditembak mati dalam insiden berbalas tembakan di lokasi sama, kelmarin.

Katanya pihaknya tidak menolak kemungkinan masih ada saki baki ahli kumpulan ini serta penyokongnya yang masih bersembunyi di sini dan usaha pemantauan serta siasatan rapi giat dijalankan di lokasi dikenalpasti.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *