Dua Kluster Ditempat Kerja Dikesan di Sabah

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 29 Second

9 Jun 2021
Erdie Ab Wahid
[email protected]

KOTA KINABALU : Dua kluster baharu COVID-19 yang dilaporkan di Sabah hari ini dikesan melibatkan pekerja sebuah hotel di daerah ini dan kakitangan sebuah agensi kerajaan di Beaufort.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Seri Masidi Manjun berkata, kluster itu adalah membabitkan Kluster Lot Sembilan Beaufort Kuala Penyu dan Kluster Jalan Wisma Kota Kinabalu.

“Bagi Kluster Lot Sembilan Beaufort Kuala Penyu mula direkodkan di Hospital Beaufort apabila kes indeks seorang pegawai lelaki berusia 35 tahun yang bertugas di Kuala Penyu dikesan positif dalam saringan bergejala pada 24 Mei lalu.

“Saringan kontak kemudiannya mendapati 11 pekerja agensi berkenaan positif termasuk empat orang yang berulang alik bertugas di agensi sama di Labuan,”katanya dalam kenyataan disini malam ini.

Masidi yang juga jurucakap rasmi COVID-19 Sabah berkata, hal itu telah membawa kepada penularan wabak dalam kalangan ahli keluarga yang kini mencatat jumlah kumulatif sebanyak 24 kes.

Katanya, Pejabat Kesihatan Kawasan (PKK) Beaufort dan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kuala Penyu kini sedang giat menjalankan pengesanan kontak secara lebih komprehensif dan meluas bagi membendung penularan wabak dalam kalangan komuniti.

Sementara itu, Masidi berkata, bagi Kluster Jalan Wisma Kota Kinabalu ia melibatkan tujuh kes positif COVID-19 dalam kalangan pekerja sebuah hotel di pusat bandar raya .

Katanya, kes indeks merupakan lelaki 24 tahun bekerja sebagai tukang masak di hotel tersebut dikesan positif melalui saringan bergejala di Klinik Kesihatan Ibu dan Anak Harington pada 04 Jun lalu dan telah dimasukkan ke Hospital Queen Elizabeth Kota Kinabalu untuk rawatan lanjut.

“Susulan kes itu, 25 sampel telah diambil dan mendapati enam lagi kes positif, 12 negatif sementara enam sampel masih menunggu keputusan.

“Berdasarkan siasatan awal, penularan jangkitan COVID-19 berpunca daripada kurangnya pemahaman mengenai pematuhan SOP yang ketat dalam kawasan tempat kerja. Siasatan lanjut masih dijalankan,”katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *