HomeUtamaAktivis Budaya Kecam Peguam Samakan Unduk Ngadau Dengan 'Persembahan Lembu Eksotik'

Aktivis Budaya Kecam Peguam Samakan Unduk Ngadau Dengan ‘Persembahan Lembu Eksotik’

Read Time:2 Minute, 31 Second

Aktivis kebudayaan Sabah mengecam bahagian dalam satu penghujahan mahkamah, di mana peguam membandingkan acara ratu cantik Unduk Ngadau dengan “persembahan lembu eksotik” (exotic cattle show) dan “acara lelong” (auction show).

Aktivis Shireen Sikayun membangkitkan bahagian dalam penghujahan mahkamah dalam kes cabul Phillip Among @ Daniel Dell Fidelis – seorang ahli politik dari Parti Solidariti Tanah Airku Rakyat Sabah.

Penghujahan itu ditulis oleh peguam Phillip, Marcel Jude.

“Dalam masyarakat pelbagai budaya kita, seseorang perlu bersikap sensitif terhadap perasaan masyarakat lain.

“Bagi seorang yang lahir dan membesar di Sabah, kenyataan itu adalah mengejutkan, merendahkan maruah dan langsung tidak sensitif kepada perasaan orang asal, sedangkan dia (Marcel) adalah orang tempatan yang sepatutnya sering berinteraksi dengan mereka,” kata Shireen dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Ketika dihubungi, Shireen yang merupakan seorang peguam dan presiden Pusat Sumber Adat dan Mediasi Kaum Anak Negeri Sabah (Pusaka), berkata penghujahan itu dikongsikan di kalangan peguam di Sabah.

Malaysiakini telah melihat salinan penuh dokumen itu yang dimuat naik bekas Adun Moyog, Jennifer Lasimbang di Facebook.

Menurut dokumen itu yang ditulis dalam bahasa Inggeris, Marcel berkata, “Pertandingan UNK (Unduk Ngadau) bukan tentang wanita. Ia hanya pertandingan, ia tidak merangkumi semua wanita, tanpa mengira apakah bakat, kemahiran, pendidikan dan kebolehan mereka, tetapi tidak lebih sebagai persembahan lembu eksotik dan hampir seperti acara lelong.

“Tiada apa yang hebat (outstanding) tentang wanita-wanita ini dan ada lebih ramai wanita hebat di luar tetapi mereka tidak dapat menjadi peserta.

“UNK adalah satu imbauan kembali zaman lalu di mana wanita hanya objek nafsu yang peragakan dalam sebuah persembahan,” katanya.

Malaysiakini difahamkan salinan fizikal dokumen tersebut telah diserahkan kepada mahkamah.

Unduk Ngadau adalah acara kebudayaan yang diadakan sempena pesta menuai, atau Tadau Kaamatan, di Sabah.

Penghujahan ringkas telah dibaca di mahkamah ketika permohonan ikat jamin Phillip di depan Majistret Jessica Ombou Kakayun di Kota Kinabalu pada 10 Jun lalu.

Ketika dihubungi, Marcel berkata, “Berhati-hati bila kaitkan saya dengan sebarang dokumen yang anda temui…tanya rakan sekerja anda (wartawan) tentang apa yang sebenarnya saya katakan di mahkamah.

“Jangan salah petik saya. Saya akan beri kenyataan bila tiba masanya,” katanya lagi.

Marcel juga meningatkan tentang kemungkinan pelanggaran peraturan sub judice melibatkan ulasan berkaitan dengan prosiding yang sedang berjalan di mahkamah.

Bagaimanapun Shireen berkata soal sub judice tidak timbul memandangkan ikat jamin Phillip telah didengar di mahkamah.

Phillip, 52, mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan mencabul peserta ratu cantik tempatan dan satu pertuduhan sama terhadap seorang lagi perempuan.

Dia yang merupakan penyelaras Parlimen Putatan Star didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan.

Bagi pertuduhan pertama, Phillip dilaporkan dituduh menggunakan kekerasan jenayah dengan niat mencabul kehormatan seorang wanita pada 17 April lalu, kira-kira jam 11 malam di ruang tamu Capsule Inn, Asia City, di Kota Kinabalu.

Pertuduhan kedua hingga kelima pula membabitkan kesalahan mencabul kehormatan seorang lagi wanita yang juga peserta Unduk Ngadau di empat lokasi berasingan pada 19 Mei lalu.

Susulan penghujahan Marcel, mahkamah menetapkan 14, 21 dan 22 Julai untuk pengurusan kes praperbicaraan. Phillip dikenakan ikat jamin RM8,000 untuk setiap pertuduhan, dengan dua penjamin tempatan. MALAYSIAKINI

RELATED ARTICLES
Utama

QSB kukuh kolaborasi dalam pengurusan kesihatan pekerja asing

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya