KDCA Gesa Peguam Tarik Balik Kenyataan Menghina Unduk Ngadau, Mohon Maaf

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 28 Second

KOTA KINABALU: Pengerusi Majlis Belia Persatuan Kebudayaan Kadazadudun (KDCA), Joanna Kitingan meminta peguam yang mewakili bekas pemimpin STAR supaya menarik balik kenyataannya yang menghina pertandingan ratu Kaamatan atau Unduk Ngadau.

Katanya, peguam terbabit juga perlu meminta maaf kepada semua peserta Unduk Ngadau, jawatankuasa penganjur Pesta Kaamatan peringkat negeri, masyarakat Kadazan, Dusun, Murut dan Rungus (KDMR) serta seluruh rakyat Sabah.

”Kami meminta beliau (Jude) menarik balik kenyataannya itu dan meminta maaf sebelum kami mengambil tindakan selanjutnya.

”Majlis Wanita KDCA mempunyai jawatankuasa perundangan yang akan menilai kes berkenaan sebelum memberi nasihat kepada kami untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan

Kitingan yang juga pengerusi penganjur Unduk Ngadau peringkat negeri berkata, apa yang telah diperkatakan oleh Jude mengenai Unduk Ngadau dalam nota penghujahannya di mahkamah, baru-baru ini, jelas merendahkan, menghina serta memfitnah semua peserta Unduk Ngadau.

”Apa yang diperkatakan oleh beliau (Jude) hanyalah kerana mahu mengalihkan isu sebenarnya dan cuba untuk mencari kesalahan peserta Unduk Ngadau serta jawatankuasa penganjur,” katanya.

Baru-baru ini, Jude dikecam hebat selepas nota penghujahan permohonan ikat jamin yang didakwa disediakannya tular di media sosial.

Dalam nota yang tersebar luas itu, beliau yang mewakili bekas penyelaras STAR Parlimen Putatan, Phillip Among, dilihat memperlekehkan pertandingan Unduk Ngadau yang diadakan setiap tahun sempena sambutan Pesta Kaamatan.

Nota berkenaan dilaporkan digunakan Jude di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu untuk penghujahannya bagi memohon mengurangkan jumlah wang ikat jamin yang dikenakan ke atas Among.

Among berdepan lima pertuduhan mencabul kehormatan dua wanita termasuk empat pertuduhan membabitkan seorang peserta Unduk Ngadau peringkat negeri.

Bagaimanapun, belum dapat dipastikan sama ada kesemua kenyataan dalam nota berkenaan ada disebut semasa prosiding mahkamah yang berlangsung pada Khamis lalu.

Beberapa kenyataan dalam nota berkenaan seperti menyamakan pertandingan Unduk Ngadau dengan ‘pertunjukan lembu’ juga tidak pernah dilaporkan oleh mana-mana media berhubung kes mahkamah terbabit.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *