Kerajaan akan kaji lanjutan Program Subsidi Upah, kata Tengku Zafrul

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 15 Second

PETALING JAYA: Kerajaan sedang mengkaji pelanjutan Program Subsidi Upah bagi menyokong sektor yang tidak boleh dibuka sehingga fasa ketiga atau keempat.

Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Abdul Aziz, berkata kerajaan sebelum ini mengumumkan bahawa program subsidi upah dilanjutkan untuk sebulan lagi bagi semua sektor.

“Satu contoh langkah yang akan kita kaji ialah subsidi upah, setakat Mei 2021, RM15 bilion telah dibelanjakan dalam Program Subsidi Upah yang memanfaatkan lebih 330,000 majikan dan 2.7 juta pekerjaan. Ini menampung 7.1 juta rakyat dari segi purata isi rumah.

“Program ini telah dilanjutkan untuk sebulan lagi bagi semua sektor dengan peruntukan sebanyak RM1.5 bilion dan peruntukan ini berjumlah RM20 bilion.

“Kita sedang mengkaji pelanjutan program ini bagi menyokong sektor yang tidak boleh dibuka sehingga fasa ketiga atau keempat,” katanya menerusi siaran langsung di Astro Awani hari ini ketika mengulas mengenai Pelan Pemulihan Negara.

Dalam pada itu, beliau berkata individu yang kehilangan pekerjaan termasuk golongan B40, M40, perniagaan mikro serta PKS dalam sektor yang tidak dibenarkan beroperasi boleh memilih untuk mendapatkan moratorium secara automatik.

“Ini memang sedia ada, saya juga faham yang sama penting adalah pelaksanaan.

“Sebab itu saya selalu menekankan kepada sektor perbankan agar mereka memudahkan proses permohonan bagi mana-mana peminjam yang memohon termasuk yang mengalami pengurangan pendapatan.”

Katanya, kerajaan kini turut mengkaji semua langkah sedia ada selain bantuan tambahan yang boleh dilaksanakan pada fasa kedua, ketiga dan keempat Pelan Pemulihan Negara.

“Kementerian Kewangan sedia menyediakan peruntukan tambahan dalam masa terdekat bagi membantu rakyat dan perniagaan yang terkesan,” katanya

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *