Harap Lebih Banyak GLC,NGO Dan Individu Tampil Bantu Ringan Beban Rakyat Terjejas – Mohd Arifin

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 31 Second

MEMBAKUT : Kerajaan negeri sentiasa mengalu-alukan kerjasama pelbagai pihak bagi membantu menghulurkan dan menyampaikan bantuan kepada golongan memerlukan khususnya di Sabah.

Menteri Tugas-Tugas Khas Sabah Datuk Mohd Arifin Mohd Arif berkata, ia termasuklah kerjasama antara syarikat berkaitan kerajaan (GLC); badan bukan kerajaan (NGO) mahupun individu bagi meringankan beban mereka yang terjejas ketika pandemik COVID-19 ini.

“Kerajaan sentiasa mengalu-alukan keprihatinan pelbagai pihak bagi meringankan beban rakyat terjejas dan dipihak kerajaan negeri juga turut menghulurkan bantuan berupa bakul makanan.

“Bantuan bakul makanan yang disumbangkan kerajaan akan disalurkan melalui Pejabat Daerah seluruh Sabah dan diserahkan kepada Ketua Isi Rumah (KIR) yang dikenalpasti,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menerima sumbangan bakul makanan dari Kumpulan Sawit Kinabalu yang disampaikan Pengurus Besar Ladang Wilayah Pantai Barat Syed Khairul M Rasheed yang mewakili Pengarah Urusan Kumpulan Sawit Kinabalu Bacho Jansie.

Mohd Arifin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Membakut turut merakamkan penghargaan kepada pihak Kumpulan Sawit Kinabalu atas sumbangan yang disalurkan kepada penduduk terjejas di daerah ini.

“Terima kasih kepada Kumpulan Sawit Kinabalu yang turut menyumbang bakul makanan kepada penduduk terjejas di kawasan Membakut.

“Daerah ini merupakan salah satu kawasan dimana syarikat ini mengusahakan kelapa sawit,” katanya.

Sementara itu, Syed Khairul berkata, Kumpulan Sawit Kinabalu terus komited untuk memberikan bantuan berupa bakul makanan kepada penduduk negeri ini yang terjejas akibat pandemik COVID-19.

“Selain daerah ini, pihak syarikat juga turut menghulurkan bantuan  ke beberapa daerah lain antaranya Tuaran; Pitas dan daerah lain,”katanya.

Terdahulu, Kumpulan Sawit Kinabalu turut menyampaikan sumbangan sama di Kota Marudu yang disampaikan sendiri Pengarah Urusan Bacho Jansie di Pejabat Daerah Kota Marudu baru-baru ini.

Sumbangan bakul makanan Kumpulan Sawit Kinabalu yang diserahkan sendiri oleh Pengarah Urusan Kumpulan Sawit Kinabalu Bacho Jansie di Pejabat Daerah Kota Marudu yang dihadiri oleh ADUN Bandau Datuk Wetrom Bahada dan diterima oleh Pegawai Daerah Wiliam Ahlan.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *