WHO bimbang ‘kelonggaran sekatan’ EURO 2020

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 29 Second

AFP
COPENHAGEN: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyuarakan kebimbangan terhadap tindakan beberapa negara Eropah menganjurkan EURO 2020 yang melonggarkan sekatan COVID-19.

Pengarah Eksekutif Pejabat Wilayah WHO untuk Eropah, Robb Butler berkata, terdapat peningkatan kes jangkitan COVID-19 di beberapa bandar yang menjadi lokasi perlawanan EURO 2020.

“Kita bimbang dengan tindakan tuan rumah yang melonggarkan sekatan COVID-19 selepas mendapati beberapa stadium yang mengadakan perlawanan membenarkan kehadiran penonton yang melebihi had sepatutnya,” katanya menerusi emel kepada AFP.

WHO bagaimanapun tidak mendedahkan nama bandar yang mengambil tindakan sedemikian.

Di Denmark, sebanyak 29 kes dikesan berkaitan dengan perlawanan di bandar raya ini.

Menurut pegawai kesihatan, Annette Lykke Petri, jumlah penonton yang dibenarkan memasuki stadium ditambah kepada 25,000 berbanding 16,000 dan jumlah tertinggi dalam perlawanan antara Denmark dan Belgium.

Di Stadium Arena Puskas, Budapest, Hungary pula kapasiti penonton mencecah sehingga 68,000 orang.

Namun, United Kingdom (UK) semalam mengumumkan akan membenarkan lebih 60,000 penonton untuk menyaksikan perlawanan separuh akhir dan akhir di Stadium Wembley di London.

Sebelum ini, negara itu hanya membenarkan kehadiran sebanyak 40,000 penonton untuk menyaksikan perlawanan tersebut iaitu membabitkan kira-kira 50 peratus kapasiti di stadium.

Pengumuman terbaru itu menyaksikan peningkatan 75 peratus kapasiti penonton bagi tiga perlawanan terakhir dengan perlawanan akhir akan berlangsung 11 Julai ini.

Butler berkata, pihaknya mengesan peningkatan kes COVID-19 di beberapa bandar yang menjadi tuan rumah kejohanan bola sepak Eropah UEFA 2020.

Justeru, WHO menggesa pihak berkuasa di bandar yang menganjurkan perlawanan di kawasan masing-masing khususnya di lokasi kes COVID-19 yang tinggi untuk bertindak segera.

Sementara itu, UEFA memaklumkan pihaknya tidak mempunyai sebarang perancangan untuk menukar tempat bagi perlawanan separuh akhir dan akhir.

Dilaporkan, UEFA juga dalam perbincangan dengan kerajaan UK untuk memohon melonggarkan sekatan perjalanan bagi membenarkan 2,500 orang kenamaan (VIP) untuk menghadiri perlawanan akhir.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *