HomeEkonomiIndustri Halal Di Sabah Turut Bantu Pertumbuhan Ekonomi Negara

Industri Halal Di Sabah Turut Bantu Pertumbuhan Ekonomi Negara

Read Time:2 Minute, 0 Second

KOTA KINABALU : Industri Halal khususnya di Sabah telah menjadi sektor pertumbuhan baru yang mempunyai potensi besar bagi ekonomi negara.

Menteri Tugas-Tugas Khas Sabah, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif berkata, peluang perniagaan tidak hanya tertumpu kepada sektor makanan dan bukan makanan tetapi turut merangkumi sektor perkhidmatan.

“Antaranya seperti kewangan dan perbankan, insuran, pendidikan, latihan, penyelidikan, konsultasi, logistik, penjagaan kesihatan dan pelancongan.

“Sabah turut berpotensi menjadi destinasi utama khususnya dalam industri pelancongan Halal kerana kita mempunyai banyak tarikan semula jadi serta terkenal dengan keramahan penduduk tempatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Seminar Tinjauan Pasaran Halal di Sabah untuk Industri Kecil dan Sederhana dan Cara Memohon Persijilan Halal, di sini.

Seminar yang diadakan secara maya itu turut dihadiri Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof. Datuk ChM Ts. Dr. Taufiq Yap Yun Hin; Presiden Persatuan Pendidikan Masa Depan Antarabangsa (IFEA) Nicholas Hsiu Wei Kong; pemain Industri Kecil dan Sederhana (IKS); dan turut menarik penyertaan seramai 374 peserta.

Mohd Arifin berkata, kedudukan Sabah yang terletak di tengah-tengah laluan Brunei Darussalam–Indonesia–Malaysia–Philippines (BIMP-EAGA) turut menjadi faktor kepada peningkatan industri pelancongan Halal.

Katanya, peningkatan kemakmuran umat Islam di seluruh dunia dan juga peningkatan kesedaran terhadap Halal telah mewujudkan permintaan yang tinggi untuk produk dan perkhidmatan ini.

“Malaysia seperti yang kita maklum mempunyai daya saing pengembangan industri Halal ini. Dan negara kita juga terkenal sebagai peneraju industri Halal di dunia. Forum ini akan membawa kita ke peta laluan untuk perniagaan ke arah kesinambungan dan keuntungan lebih besar diperingkat antarabangsa.

“Peserta akan mendapat banyak maklumat mengenai pensijilan, standard makanan halal dan sistem pengesanan halal untuk meningkatkan tahap kesedaran bagi mendorong penyertaan perniagaan Halal di Sabah dan saya ucapkan syabas kepada IFEA dan UMS atas inisiatif penganjuran seminar ini,” katanya.

Sementara itu, Naib Canselor UMS, Profesor Datuk ChM Ts. Dr. Taufiq Yap Yun Hin berkata, Sabah merupakan penyumbang kedua terbesar dalam ekonomi Halal di Malaysia.

Naib Canselor UMS, Profesor Datuk ChM Ts. Dr. Taufiq Yap Yun Hin turut berucap pada seminar itu

“Ini tentunya akan membantu meletakkan Sabah sebagai Hab Halal Global seperti yang dibayangkan dalam Pelan Induk Perindustrian Ketiga (IMP3).

“Oleh itu, pensijilan Halal sangat bermakna dan berguna untuk semua IKS terutamanya di negeri ini,” katanya.

Terdahulu, UMS dipilih sebagai universiti rasmi dalam menghimpunkan pemain IKS Sabah oleh IFEA bagi menjayakan aktiviti perkongsian ilmu dan peluang perniagaan halal di Sabah.

SABAH MEDIA JUGA BOLEH DIIKUTI DI TELEGRAM : https://t.me/joinchat/Z7H7hGYFNvJmYzhl

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

Lapan finalis berentap dalam kategori remaja MTHQ

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya