19 Pelajar Cemerlang SPM 2020 Terima Hadiah Sumbangan ADUN Tambunan

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 24 Second

KOTA KINABALU : Seramai 19 pelajar di daerah Tambunan yang mendapat keputusan cemerlang dengan memperoleh semua gred A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 menerima hadiah berupa wang tunai.

Hadiah yang disalurkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tambunan Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan itu adalah bagi memberi dorongan kepada mereka untuk bekerja lebih keras untuk mencapai kejayaan diperingkat lebih tinggi.

“Saya berharap para pelajar yang cemerlang ini akan dapat meneruskan lagi pendidikan mereka ke peringkat lebih tinggi selain dapat menyumbangkan khidmat mereka kepada masyarakat suatu hari nanti.

“Kami di pejabat perhubungan ADUN Tambunan amat berbangga dengan kejayaan mereka dan turut gembira dengan pencapaian yang membanggakan ini,”katanya dalam pertemuan menerusi alam maya bersama pelajar dan Pejabat Pendidikan Daerah Tambunan disini.

Jeffrey yang juga Timbalan Ketua Menteri turut merakamkan penghargaan kepada Pegawai Pendidikan Daerah Tambunan dan semua guru yang terlibat dalam memastikan kejayaan pelajar pada tahap membanggakan.

Beliau turut berhasrat untuk mengadakan perjumpaan bersama warga pendidik di daerah itu bagi membincangkan perkara  berkaitan pendidikan bagi meningkatkan lagi keputusan peperiksaan di daerah berkenaan.

“Pada masa kini, pelajar dapat belajar dalam persekitaran yang lebih selesa berbanding 50 tahun yang lalu dan kebanyakan pelajar mempunyai akses ke komputer yang menjadikan pembelajaran lebih mudah.

“Jika dahulu, kami tidak mempunyai komputer semasa kecil. Kami hanya mempunyai impian kami. Tetapi walaupun begitu, generasi saya berjaya muncul dengan baik. Semasa saya di Sekolah Rendah, saya masih ingat pindah ke sekolah di Keningau dari Tambunan. Saya pergi berjumpa pengetua, mengatur pengajian saya sendiri sehingga saya dimasukkan ke sekolah berasrama penuh,”katanya.

Jeffrey berkata, beliau turut berharap agar pelajar yang tidak memperoleh keputusan cemerlang supaya tidak berputus asa dan mencari sentiasa mencari peluang yang ada untuk terus berjaya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *