PICK : Program ‘Outreach’ Seluruh Sabah Bantu Penduduk Luar Bandar Dapat Suntikan Vaksin COVID-19

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 21 Second

KINABATANGAN: Program Jangkauan Luar Vaksinasi akan dilaksanakan secara menyeluruh diseluruh Sabah bagi memastikan semua penduduk khususnya di luar bandar mendapat suntikan vaksin COVID-19 secara menyeluruh.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, program itu turut membantu penduduk yang tidak mempunyai akses kesihatan, perhubungan internet selain masalah perhubungan jalan raya agar penularan virus itu dapat dicegah dari terus berleluasa.

“Saya yakin pemberian vaksin menerusi program berkenaan akan dapat dilaksanakan sepenuhnya agar kehidupan rakyat kembali normal seperti dahulu.

“Selain pelbagai sektor yang terjejas akibat penularan pandemik COVID-19 ini juga akan kembali pulih,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Program Jangkauan Luar Vaksinasi COVID-19 dan penyampaian bakul makanan di Kampung Balat dan Sangau disini hari ini.

Hadir sama Pegawai Daerah Kinabatangan Abdul Manap Abdul Rahim dan Pemimpin Pembangunan Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag Abu Bakar Gafar.

Bung yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan berkata, usaha perlu ditingkatkan bagi memberikan penerangan kepada rakyat mengenai kebaikan vaksin dan mendaftarkan mereka sebagai penerima vaksin.

Katanya, semua pihak termasuk agensi kerajaan dan swasta diperlukan bagi menjayakan proses pendaftaran dan pemberian vaksin yang masih rendah khususnya dalam kalangan penduduk luar bandar di negeri ini.

“Peratusan rakyat yang menerima vaksin masih agak rendah khususnya di luar bandar yang kurang mendapat maklumat tepat mengenai kebaikan vaksin selain kekangan perhubungan dan perlunya program seumpama ini bagi memberikan kemudahan kepada orang ramai menerima vaksin.

“Kita tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada pendaftaran melalui MySejahtera kerana ada kawasan di luar bandar yang tiada ekses internet, justeru peranan pemimpin masyarakat bagi memberikan penjelasan tentang kebaikan vaksin dan mendaftarkan mereka sebagai penerima dapat membantu mempercepatkan proses pemberian vaksin kepada rakyat” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *