Sabah Peruntuk RM1.5 juta Laksana IMPAC

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 40 Second

KOTA KINABALU : Sabah memperuntukan RM1.5 juta bagi Bantuan Ihsan Makanan Pelajar Terjejas Covid-19 (IMPAC) kepada para pelajarnya. 

Menurut Menteri Tugas-Tugas Khas, Datuk Mohd Arifin Arif, peruntukan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 itu khusus untuk membantu pelajar Sabah yang terperangkap di kampus atau sekitar kampus Institusi Pengajian Tinggi (IPT) awam dan swasta seluruh Malaysia akibat PKP 3.0 dalam usaha kerajaan membendung Covid-19.

Jelas beliau, bayaran one-off RM300 akan diberikan kepada pelajar Sabah yang terperangkap di kampus atau sekitar kampus Institusi Pengajian Tinggi (IPT) awam dan swasta seluruh Malaysia akibat PKP 3.0 untuk membendung Covid-19.

“Bantuan diluluskan berdasarkan permohonan dan pengesahan institusi-institusi berkenaan di seluruh Malaysia. Bayaran one-off sebanyak RM300 seorang dan berdasarkan jumlah pelajar yang berada di asrama pada tempoh tersebut. 

“Pelajar yang tinggal di rumah sewa sekitar kampus juga termasuk dalam kategori ini. Bantuan ini juga dipanjangkan ke maktab perguruan, sekolah agama, madrasah, sekolah maahad tahfiz dan seumpanya,”katanya.

Katanya, bantuan akan disalurkan terus kepada institusi, kolej, sekolah, maktab dan madrasah untuk diagih kepada pelajar-pelajar berkenaan.

“Bagi institut atau madrasah yang menyediakan makan minum pelajar, bantuan tersebut boleh digunakan oleh institusi atau madrasah untuk perbelanjaan makan minum pelajar dan tidak perlu diagih kepada pelajar,” katanya. 

Mengenai status terkini Arifin menjelaskan, setakat ini RM120,300 telah dibayar kepada pelajar baru di tiga IPT dan tiga maahad tahfiz dan sekolah agama rakyat melibatkan 400 pelajar di Sabah.

Tambah beliau, di bawah PKP 2.0, seramai 3,839 pelajar daripada 72 IPT dan institusi seluruh Malaysia telah dibantu melibatkan peruntukan sebanyak RM1.151 juta.

“Jumlah RM1.151 juta ini melibatkan permohonan dari sebuah IPT di Sabah, enam di Sarawak, enam dari Johor, dua di Negeri Sembilan, 12 di Selangor dan Kuala Lumpur, 22 pusat tahfiz dan sekolah agama rendah. 

“Selebihnya adalah IPT dari beberapa negeri di Semanjung Malaysia,” dedah Arifin dalam sidang media di pejabatnya, pada Selasa. PENERANGAN

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *