Projek Tebatan Banjir Bernilai RM50 juta untuk Tenom Tahun Depan

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 51 Second

KOTA KINABALU: Kerajaan akan membelanjakan RM50 juta bagi membina tambak sepanjang 4.4 kilometer untuk menyelesaikan masalah banjir di Pekan Tenom.

Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Dr Jeffrey G Kitingan mengatakan tender untuk projek itu akan dipanggil awal tahun depan, dan pembinaannya dijangka selesai pada tahun 2025.

“Ini hanya fasa pertama projek tebatan banjir di Tenom manakala tambak Tenom ini adalah setinggi tujuh meter, dengan lima kulvert berserta pintu di semua alur keluar.

“Projek ini juga akan membina sistem pemantauan banjir dan amaran yang lebih baik serta meninggikan jalan di tambak sesuai dengan standard yang ditetapkan oleh Jabatan Kerja Raya,” katanya selepas mengunjungi Jabatan Pengairan dan Saliran Tenom di daerah itu pada Jumaat.

Jeffrey, yang juga Menteri Pertanian dan Perikanan, berkata lokasi Pekan Tenom yang berhampiran dengan pertemuan Sungai Pegalan dan Sungai Padas bermakna pekan ini selalu berisiko ditenggelami air banjir setiap kali hujan lebat berlaku.

Rumah-rumah yang dibina di sepanjang Sungai Padas kebanyakannya berada di bawah permukaan jalan, dan malangnya, Projek Tambak Tenom tidak akan dapat melindungi mereka dari banjir di masa depan.

Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mencadangkan agar penduduk-penduduk ini dipindahkan ke tempat yang lebih tinggi sebelum tragedi berlaku, seperti kehilangan nyawa.

Namun, cadangan ini perlu diperhalusi dengan Pejabat Daerah, seperti mengganti tanah yang hilang, mengenal pasti kawasan perumahan yang sesuai, dan memberi pampasan jika perlu.

Sementara itu, Tenom telah mengalami banjir terburuk enam minggu lalu, memaksa lebih daripada 5,000 penduduk meninggalkan rumah masing-masing.

“Pihak kementerian juga sedang mempertimbangkan potensi penyelesaian lain untuk mengatasi masalah banjir, seperti mengalihkan aliran sungai lebih jauh dari kawasan penduduk dan membina tasik buatan yang juga dapat berfungsi sebagai takungan air untuk daerah ini,” kata Jeffrey.

Jeffrey juga menegaskan bahawa masalah banjir adalah fenomena semula jadi kerana lokasi daerah berhampiran dua sungai utama di pedalaman Sabah.

Walau bagaimanapun, banjir yang lebih kerap dan teruk yang dilihat penduduk Tenom sejak dekad yang lalu mungkin disebabkan oleh aktiviti manusia di hulu sungai.

Jesteru itu, kegiatan yang merosakkan alam sekitar seperti pembalakan dan pertanian, telah mengakibatkan hakisan, kemusnahan kawasan tadahan air dan banjir lumpur.

“Saya harap setelah projek ini selesai, banjir seperti yang berlaku pada tahun 2014 dan pada bulan Mei tahun ini tidak lagi berlaku di masa hadapan,” ujarnya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *