Sabah Gesa Kerajaan Pusat Hantar Segera Bekalan Vaksin

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 15 Second

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri menggesa kerajaan Persekutuan untuk mempercepatkan penghantaran bekalan vaksin COVID-19 ke Sabah.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, Sabah telah membuka sebanyak 151 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di seluruh negeri.

“Selain pembukaan PPV, kerajaan negeri turut menggerakkan program Jangkauan Luar di pedalaman tetapi malangnya bekalan vaksin agak perlahan.

“Kekurangan bekalan vaksin ini turut memberi kesan kepada Program Imunisasi Industri COVID-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) yang mana sepatutnya bermula pada bulan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menerima kunjungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Antarabangsa Malaysia (MICCI) Sabah yang diketuai pengerusinya, Datuk Seri Wong Khen Thau.

Hajiji berkata, bagi memastikan PIKAS dapat dilaksanakan, bekalan vaksin perlu segera dihantar secepat mungkin seperti yang dijanjikan kerajaan Persekutuan.

Katanya, selain itu kerajaan juga mahu mencapai sasaran 30,000 orang akan menerima vaksin setiap hari mulai bulan ini menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

“Kerajaan telah banyak melaksanakan program di lapangan bagi memastikan lebih ramai orang diberi vaksinasi bagi menyekat penularan pandemik COVID-19,” katanya.

Terdahulu, dalam pertemuan bersama MICCI telah membincangkan kesan pandemik itu ke atas ekonomi selain membangkitkan pelbagai isu yang berkaitan termasuk untuk bekerjasama dengan kerajaan negeri untuk menangani perkara ini.

Ini termasuklah antara lainnya pembukaan aktiviti ekonomi secara berperingkat di negeri ini, menubuhkan cawangan Sabah (Sabah desks) di kawasan strategik seperti China dan Eropah untuk menarik pelabur ke Sabah.

MICCI sebagai organisasi yang tertua di negara ini memiliki jaringan dan rangkaian antarabangsa yang luas, yang mana akan menjadikannya lebih stabil untuk melengkapkan agenda pelaburan kerajaan negeri.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *