COVID-19 : Penduduk Pulau Gaya Lari PKPD Diarah Balik Semula Atau Berdepan Tindakan Tegas

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 10 Second

KOTA KINABALU : Penduduk yang telah melarikan diri dari Kampung Pondo Pulau Gaya yang mengelak daripada berada di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) diminta untuk kembali ke kampung dengan kadar segera.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Seri Masidi Manjun berkata, ia adalah bagi memastikan tidak berlaku jangkitan kepada komuniti lain.

“Balai Polis Pulau Gaya pada ketika ini juga sedang mempergiat usaha mengesan semua 69 suspek yang dipercayai melarikan diri ketika berangkat ke Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC).

“Kegagalan mereka kembali ke Kampung Pondo dan jika tertangkap oleh pihak berkuasa, mereka boleh diambil tindakan undang-undang di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342),” katanya dalam kenyataan disini malam ini.

Katanya, mereka juga akan dikenakan Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Kawalan Pergerakan) (No.4) (Pindaan) (No.16) 2021.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai keberadaan penduduk dari Kampung Pondo, Pulau Gaya yang mengelak daripada dikenakan PKPD digesa supaya menyalurkan maklumat tersebut ke balai polis terdekat,”katanya.

Terdahulu, Ahad lalu, Kota Kinabalu mencatatkan kes positif COVID-19 sebanyak 120 kes dimana daripada jumlah itu, sebanyak 92 kes adalah hasil saringan besar-besaran di Pulau Gaya iatu Kampung Pondo (30 kes) dan Kampung Laban Pulau Gaya (62 kes).

Semalam, Pulau Gaya turut merekodkan angka kes sebanyak 58 kes hasil saringan bersasar yang dilaksanakan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *