SUKAN : Lajim Dilantik Penasihat Kejohanan Piala MBR

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 4 Second

KOTA KINABALU :  Ahli Majlis Tertinggi (AMT) Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) Datuk Seri Lajim Ukin dilantik sebagai penasihat Kejohanan Bola Sepak Piala Datuk Seri Bung Moktar Radin (Piala BMR) berkuatkuasa serta-merta.

Penolong Setiausaha Agung SAFA yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan SAFA, Azman Mastar, berkata, Lajim sudah pun menyatakan persetujuannya mengenai peranan yang diberikan kepadanya.

Katanya, selaku penasihat dan AMT SAFA, Lajim akan berperanan untuk memantau pengendalian pertandingan tersebut.

“Kita yakin kehadiran beliau sudah tentu dapat membantu dan menyumbang buah fikiran bagi memastikan penganjuran kejohanan berjalan dengan baik,” katanya.

Azman berkata demikian selepas menyerahkan dokumen pertandingan Piala BMR itu kepada Lajim di pejabat SAFA, baru-baru ini.

Turut hadir Setiausaha Eksekutif SAFA, David Wisom.

Menurut Azman, perlawanan akhir Piala BMR besar kemungkinan akan dapat diadakan bulan hadapan setelah mendapat kebenaran pihak berkuasa.

Setakat ini sebanyak tujuh zon sudah mengesahkan layak ke grand final kejohanan itu kecuali zon pantai timur selatan.

Sementara itu, Lajim mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada SAFA atas kepercayaan yang diberikan kepadanya untuk menjadi penasihat kejohanan itu.

Katanya, kejohanan Piala BMR itu penting sebagai landasan untuk mengetengahkan bakat-bakat baharu dalam sukan bolasepak memandangkan ia membabitkan pemain-pemain berumur bawah 18 tahun dari seluruh daerah.

Beliau berharap pertandingan itu dapat disambung semula sebaik sahaja mendapat kebenaran pihak kerajaan.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *