Sabah Tuan Rumah Sambutan Hari Malaysia 2021

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 27 Second

KOTA KINABALU : Sabah dipilih menjadi tuan rumah sambutan Hari Malaysia yang akan diadakan pada 16 September depan berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) tahun ini.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, perkara itu telah dibincangkan pada mesyuarat jawatankuasa induk Hari Malaysia yang diadakan secara maya dipengerusikan bersama Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah kelmarin.

“Bagi pihak kerajaan negeri, kami merakamkan penghargaan kepada kerajaan pusat atas keputusan dan kepercayaan serta penghormatan yang diberikan untuk Sabah sekali lagi menganjurkan sambutan ini.

“Di peringkat negeri, kita akan mengadakan beberapa siri mesyuarat jawatankuasa pelaksana bersama jabatan dan agensi berkaitan bagi memastikan sambutan akan berjalan lancar,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan mesyuarat secara maya di Bangunan UMNO Sabah disini, kelmarin.

Bung yang juga Pengerusi  bersama Jawatankuasa Penganjur Hari Malaysia di peringkat negeri berkata, sambutan akan diadakan dengan pematuhan ketat prosedur operasi standard (SOP) berikutan pandemik COVID-19 yang masih melanda negara.

“Ia akan berlangsung di tempat tertutup dengan penjarakan sosial, dengan kehadiran yang terhad yang  dianggarkan sekitar 500 orang bagaimana pun ianya bergantung kepada situasi semasa penularan Pandemik COVID-19 di  negeri ini,”katanya.

Sementara itu, Bung berkata, pelbagai acara telah siap disusun antaranya Majlis Tahlil, Persembahan Koir, Majlis Memotong Kek Hari Malaysia, dan  Tayangan Montaj.

Katanya, selaras dengan tema tahun ini, Malaysia Prihatin satu persembahan khas dari Artis-artis Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah bertemakan “Malaysia Prihatin” turut di persembahkan bagi mengajak rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama dalam menangani wabak COVID-19.

“Kita berharap melalui sambutan Hari Malaysia bukan sahaja menyuntik semangat patriotik rakyat Malaysia khususnya di kalangan generasi muda, dalam pembentukan negara yang bersatu padu dan harmoni, namun melalui sambutan ini kita mengajak seluruh rakyat Malaysia bersama-sama bersolidariti memerangi pandemik COVID-19” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *