KOTA KINABALU: Yang Dipertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin menerima kunjungan hormat daripada Komander Angkatan Tugas Bersama 2 Tawau, Brigedier Jeneral Abdul Karim Ahmad.
Menurut Abdul Karim, kunjungan itu memberikan ruang perbincangan bagi memperkemaskan lagi atur gerak operasi dalam memastikan kedaulatan Pantai Timur Sabah berada pada tahap terbaik.
“Kawasan Pantai Timur Sabah dianggarkan meliputi jarak lebih kurang 1,770 kilometer yang memerlukan operasi secara gabungan bagi mendapatkan output dan hasil terbaik daripada operasi yang dijalankan.
“Operasi secara gabungan melibatkan tentera darat, tentera laut, tentera udara serta agensi-agensi penguatkuasaan di sepanjang kawasan,” katanya ketika ditemui media di Istana Negeri, pada Rabu.
Dalam pada itu, Abdul Karim menjelaskan 98 peratus daripada anggota ketumbukan di bawah pemerintahannya telah lengkap menerima vaksin Covid-19.
“Hal ini penting agar sekiranya mereka mengendalikan apa jua anasir atau ancaman yang berlaku di penempatan masing-masing, mereka mempunyai daya imunisasi yang tinggi.
“Terima kasih diucapkan kepada pucuk pimpinan angkatan tentera kerana membolehkan semua anggota yang ditugaskan di barisan hadapan menerima suntikan vaksin sebelum menjalankan misi yang diberikan,” katanya lagi.
Abdul Karim dilantik sebagai Komander Angkatan Tugas Bersama 2 yang Ke-8 menggantikan Brigedier Jeneral Johari Mohd Jaafar dalam serah terima tugas yang diadakan pada 8 Jun lepas. PENERANGAN