Jambatan Musnah, Penduduk Mahu Pembinaan Segera

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:2 Minute, 26 Second

KENINGAU: Penduduk dari Kampung Sanang Dalit dan Kampung Karamatoi di daerah ini, merayu kepada kerajaan supaya jambatan di kampung mereka dibina secepat mungkin.

Jambatan yang menjadi perhubungan penduduk Kampung Sanang Dalit dan penduduk kampung Karamatoi untuk ke pekan Sook telah musnah akibat banjir kilat yang melanda di kampung tersebut dua tahun yang lalu.

Salah seorang penduduk Kampung Sanang Dalit, hanya dikenali sebagai Lingkungan berkata, bahawa beliau mewakili penduduk kampung mengharapkan agar pihak yang berkenaan mempercepatkan pembinaan jambatan baru di kampung mereka.

“Sudah dua tahun kami menunggu pembinaan jambatan baru ini, namun tidak ada sebarang usaha pihak berwajib melihat keperluan kami ini, kami juga mahukan limpahan pembangunan dipancarkan di kawasan kami, bagaimana mungkin kiranya kita dipanggil negara maju, sekiranya pembangunan luar bandar diabaikan” kata Lingkungan yang mendesak agar pihak kerajaan mendengar keluhan mereka.

Sebelum ini jambatan tersebut merupakan salah satu jalan utama yang menghubungkan penduduk kampung Dalit ke Sook, memandangkan jambatan ini merupakan jalan pintas untuk ke pekan Sook.

Namun disebabkan jambatan ini terputus menyebabkan ramai penduduk terkesan terutamanya penduduk Kampung Sanang Dalit, mereka terpaksa menggunakan jalan alternatif lain yang lebih jauh dan memakan masa.

Penduduk di kawasan ini mengalami kesukaran terutamanya apabila ada ahli keluarga yang sakit tenat untuk dibawa ke klinik berdekatan.

Selain itu, penduduk kampung juga sukar mengeluarkan hasil komoditi mereka memandangkan jambatan tersebut tidak boleh dilalui.

Berdasarkan maklumat daripada beberapa penduduk kampung di sini, jambatan tersebut dibina pada tahun 1970-an lagi namun telah runtuh dua tahun lepas disebabkan oleh banjir kilat akibat aktiviti pembalakan yang tidak terkawal di hulu Sungai Karamatoi.

Permasalahan tersebut mendapat perhatian Menteri Belia dan Sukan Sabah merangkap ADUN Sook, Datuk Ellron Angin melalui lawatan beliau tahun lepas 5 Disember 2020 di kampung ini.

Ellron telahpun memanjangkan isu ini kepada pihak yang bertanggungjawab iaitu Jabatan Kerja Raya, Keningau memandangkan pembinaan jambatan ini merupakan salah satu tanggungjawab pihak tersebut kerana termasuk dalam kawasan kampung.

Walau bagaimanapun, masalah ini masih berlarutan disebabkan, kos pembinaan jambatan baru ini dianggarkan menelan ratusan ribu ringgit.

“Saya sudah memanjangkan isu ini kepada pihak Jabatan Kerja Raya dan sampai sekarang masih belum mendapat sebarang jawapan, saya sebagai wakil rakyat di kawasan ini menggesa agar pihak berkenaan mempercepatkan pembinaan memandangkan jambatan ini sememangya memberi manfaat kepada penduduk setempat,” tegas Ellron ketika dihubungi media.

Berikutan daripada permasalahan tersebut, diatas keprihatinan beliau, pembinaan jambatan baru Kampung Sanang Dalit telahpun dimasukkan dalam Unit Pembangunan Ekonomi Nasional (UPEN) di bawah Skim Bencana Alam dalam usaha memastikan permasalahan ini mendapat perhatian sewajarnya oleh pihak berkenaan.

Dalam pada itu, wakil Unit Pemimpin Pembangunan Masyarat (UPPM) Sook, Jaulis Romou mewakili Datuk Ellron baru-baru ini telah turun padang untuk melihat sendiri keadaan jambatan tersebut.

Beliau mendapati jambatan tersebut tidak selamat digunakan, namun atas kerjasama penduduk kampung mereka telah membina jambatan kecil dan ianya hanya boleh dilalui kenderaan kecil seperti motorsikal sahaja.

Jaulis dan penduduk kampung berharap pihak berwajib dapat membina jambatan baru dengan segera untuk kemudahan semua pengguna terutamanya penduduk yang tinggal di kawasan tersebut.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *