2,340 Metrik Tan Gula Akan Tiba Ke Sabah Secara Berperingkat Di Tiga Pelabuhan

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 55 Second

KOTA KINABALU : Sebanyak 2,340 metrik tan gula akan tiba secara berperingkat ke negeri ini membabitkan tiga pelabuhan di Sabah bermula minggu ketiga dan keempat pada bulan ini.

Pengarah Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sabah Georgie Abas berkata, daripada jumlah itu sebanyak 590 metrik tan gula dijangka akan tiba berperingkat di Pelabuhan Sepanggar.

“Manakala 650 metrik tan bekalan gula akan tiba di Pelabuhan Sandakan dan 1,100 metrik tan lagi di Pelabuhan Tawau.

“Bekalan gula pasir ini akan diterima daripada dua buah kilang gula yang merupakan pembekal utama gula di seluruh Malaysia iaitu Central Sugars Refinery Sdn. Bhd. dan MSM Prai Sdn. Bhd,” katanya dalam kenyataan disini hari ini.

Georgie berkata, bekalan gula pasir di Sabah juga dijangka akan mula beransur pulih pada bulan Ogos depan.

Katanya, isu kekurangan gula pasir di beberapa tempat di negeri Sabah mula timbul semenjak akhir bulan April yang lalu.

“Pejabat KPDNHEP Sabah telah menjalankan naziran dan pemeriksaan secara berterusan ke atas syarikat-syarikat pemborong utama di Sabah.

“Hasil penemuan utama mendapati jumlah bekalan gula yang diterima oleh pemborong-pemborong berkenaan daripada dua buah kilang gula dari Semenanjung Malaysia tersebut telah berkurangan sehingga 50 peratus daripada biasa,” katanya.

Tambahnya, pihak Ibu pejabat KPDNHEP di Putrajaya turut membantu dengan menjalankan semakan lanjut ke atas kedua-dua buah kilang berkenaan dan mendapati terdapat isu teknikal yang dihadapi di salah sebuah kilang pengeluar iaitu mengalami kerosakan mesin utama memproses gula.

“Selain itu, kes penularan penyakit COVID-19 dalam kalangan pekerja kilang gula yang menjejaskan kapasiti pengeluaran dan pengedaran oleh kilang gula yang terbabit turut menjadi faktor kepada kekurangan bekalan.

“Kelewatan penghantaran melalui kapal laut daripada kedua-dua kilang gula yang terletak di Semenanjung juga menyebabkan berlakunya beberapa perubahan jadual pelayaran kapal yang telah menjejaskan ketibaan bekalan gula di Sabah,” katanya.

Dalam pada itu, Georgie berkata, tindakan mengehadkan pembelian gula kepada dua kilogram atau dua paket seorang dilaksanakan oleh peruncit sebagai kawalan kendiri.

Katanya, ia adalah bagi memastikan bekalan gula kekal ada di pasaran meskipun berlakunya gangguan penghantaran dari Semenanjung dari hujung April lalu hingga Julai ini.

“Kita faham dan percaya ini mungkin telah menimbulkan persepsi negatif dalam kalangan orang ramai bahawa sukar bagi mereka untuk mendapatkan bekalan gula.

“Walau bagaimanapun, langkah kawalan kendiri tersebut adalah penting bagi memastikan lebih ramai pengguna berpeluang memperoleh bekalan gula,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *