SMK Rancha-Rancha Anjur Dialog Prestasi Untuk Calon SPM 2021 Bersama Ibu Bapa

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:2 Minute, 20 Second

LABUAN: Pihak sekolah memerlukan kerjasama ibu bapa dalam memberi galakan dan motivasi kepada anak-anak agar sentiasa bersemangat dan bersiap sedia mengikuti Pembelajaran dan Pengajaran di Rumah (PdPR) sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rancha-Rancha, Wan Azman Wan Awang, berkata ia perlu bagi memastikan tiada pelajar tercicir atau tertinggal dalam pelajaran disebabkan tidak mengikuti kelas PdPR, terutama mereka yang akan menduduki peperiksaan.

Bercakap ketika dialog prestasi pelajar secara dalam talian bersama ibu bapa calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 SMK Rancha-Rancha, baru-baru ini, beliau berkata ibu bapa perlu membantu sekolah untuk memastikan kejayaan anak masing-masing dalam peperiksaan itu nanti.

“Dialog prestasi ini membolehkan interaksi dua hala di antara ibu bapa dengan pihak sekolah bagi merungkai pelbagai masalah mengenai pembabitan pelajar tingkatan lima dalam PdPR dan membincangkan pencapaian mereka dalam ujian pertama pada Mac lalu.

“Program ini juga bertujuan meningkatkan motivasi ibu bapa agar sama-sama membantu sekolah dalam memberi galakan dan semangat kepadaa anak-anak agar sentiasa bersiap sedia setiap masa mengikuti PdPR kerana jika mereka tidak mengikuti, kemungkinan mereka akan ketinggalan topik yang diajar guru setiap mata pelajaran,” katanya.

Dialog bersama ibu bapa dan pelajar SPM 2021 anjuran Unit Kurikulum SMK Rancha-Rancha yang diadakan pada 10 Julai lalu itu turut menyelitkan taklimat berkaitan peluang lepasan SPM melanjutkan pelajaran selain perkara yang menyentuh soal akademik dan hal ehwal pelajar serta motivasi dan kaunseling.

Wan Azman berkata, selain untuk menyampaikan maklumat kepada ibu bapa, program itu juga adalah inisiatif sekolah untuk merapatkan hubungan dengan ibu bapa pelajar dalam merancang aktiviti kecemerlangan kurikulum.

“Ini kerana sokongan ibu bapa adalah sangat diharapkan terutama dalam situasi sekarang yang mana kaedah kaedah pembelajaran lebih banyak dilaksanakan di rumah atau secara PdPR.

“Sehubungan itu, kita berharap dengan adanya program seperti ini sedikit sebanyak dapat membantu memberi suntikan semangat kepada semua calon SPM agar lebih tabah dan berjuang sehabis baik untuk mendapat keputusan terbaik dalam SPM kelak,” katanya.

Sementara itu, kaunselor sekolah berkenaan, Rafeeza Sanadi, berkata penularan pandemik COVID-19 turut mempengaruhi pola emosi pelajar dalam mengikuti PdPR.

Katanya, pihaknya sedar ada pelajar yang tertekan dan kurang bermotivasi untuk mengikuti PdPR disebabkan pandemik dan masalah lain yang timbul disebabkan situasi itu.

“Masalah ini tidak boleh dipandang ringan kerana mereka akan menduduki peperiksaan SPM yang sangat penting kepada mereka.

“Pihak sekolah bertanggungjawab mencari solusi untuk membantu pelajar agar tidak patah semangat, sebaliknya terus bermotivasi untuk belajar supaya tidak menjejaskan prestasi dan persediaan mereka menghadapi SPM,” katanya.

Tambahnya, galakan dan sokongan ibu bapa juga sangat diperlukan pada masa ini dan mereka perlu bersama dengan guru untuk membantu anak masing-masing dalam menangani tekanan emosi sepanjang PdPR.

Jelasnya, ibu bapa juga boleh berhubung dengan kaunseling sekolah jika ada masalah berkaitan dengan emosi anak-anak ketika menjalani PdPR supaya kedua-dua pihak dapat membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *