Kerajaan Tidak Halang NGO & Orang Awam Beri Bantuan Kepada Warga Asing

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 25 Second

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri tidak menghalang mana-mana badan bukan kerajaan (NGO) untuk tampil memberi bantuan kepada warga asing tanpa dokumen yang terjejas disebabkan pandemik COVID-19.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Seri Masidi Manjun berkata, ia termasuklah sekiranya ada orang awam yang ingin tampil memberi bantuan kepada warga asing yang perlu bantuan.

“Pihak kerajaan negeri Sabah pada dasarnya hanya memberikan bantuan kepada rakyat yang berstatus warganegara sahaja.

“Namun bagi NGO atau orang awam yang mahu memberi bantuan pihak kerajaan negeri tidak mempunyai halangan,” katanya dalam kenyataan disini malam ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas berita yang dipaparkan sebuah akhbar tempatan pada 15 Julai bertajuk “Semakin Ramai PTI Turut Pasang Bendera Putih”.

Masidi berkata, pihak Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah telah melakukan pemantauan di kawasan yang dimaksudkan mendapati masih terdapat sejumlah tujuh bendera berwarna putih.

Katanya, bendera putih berkenaan turut diikat bersama papan dan keratan kotak tertera nombor telefon serta nama yang mengandungi tulis memohon bantuan makanan daripada orang ramai.

“Tindakan telah diambil dengan menghubungi nombor telefon yang berkenaan dan mendapati pemilik nombor telefon tersebut terdiri daripada tujuh keluarga dari kalangan wanita warganegara Filipina berusia dalam lingkungan 50 tahun.

“Mereka dianggarkan seramai enam hingga ke sembilan orang serta kanak-kanak berumur lingkungan satu tahun dalam setiap rumah yang disyaki tidak mempunyai sebarang dokumen yang sah menetap di kawasan setinggan Bukit Bantayan Kiansom, Inanam,” katanya.

Katanya, siasatan menerusi panggilan telefon mendapati mereka tidak mempunyai bekalan makanan yang mencukupi berikutan sumber pendapatan adalah bergantung sepenuhnya dengan suami yang kini berada di daerah Kota Belud yang bekerja.

“Sekatan perjalanan antara daerah dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 ini menyebabkan halangan untuk kembali ke pangkuan keluarga masing-masing sekaligus menyebabkan berlakukanya keadaan sedemikian,”katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *