Kanak-Kanak Perlu Didedahkan Dengan Bahasa Ibunda Sejak Usia Kecil

Read Time:1 Minute, 24 Second

TAMPARULI : Golongan ibu bapa disaran untuk memberi pendedahan kepada anak-anak terhadap bahasa ibunda sejak usia kecil lagi sebelum menguasai bahasa lain.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Datuk Jahid Jahim berkata, bahasa ibunda memainkan peranan penting dalam kehidupan masyarakat agar anak-anak membesar dalam suasana bahasa yang sering didengari dan dituturkan.

“Sebelum anak-anak kita diajar bahasa lain, bahasa ibunda memainkan peranan penting dalam kehidupan masyarakat kita.

“Ini bagi memastikan identiti mereka sentiasa terpelihara dan bahasa kita tidak hilang ditelan zaman,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyambut rombongan Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA) Daerah Kota Marudu di Tadika Ceria Kadazandusun Tiong Monggis, disini kelmarin.

Hadir sama, Penolong Pegawai Daerah Kecil Tamparuli, Herman Tunggiging, dan Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Tamparuli, Madin Anak.

Jahid yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamparuli berkata, ibu bapa berperanan penting untuk mengajar anak mereka bahasa ibunda sejak kecil selain mendedahkan mereka dengan pengetahuan yang lain.

“Peranan tenaga pengajar juga penting, untuk menjadikan pembelajaran lebih seronok dan relevan, serta kunci dalam membantu para pelajar menjadikan bahasa ibunda, sebagai salah satu bahasa yang digunakan dalam kehidupan seharian mereka,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha KDCA Daerah Kota Marudu, Junid Gunsalam, berkata, lawatan sambil belajar itu diadakan untuk mengetahui tentang pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran kelas bahasa Kadazan Dusun di Tadika Ceria Tiong Monggis mengikut modul dan sukatan pelajaran yang ditetapkan.

Menurutnya, KDCA daerah Kota Marudu bercadang untuk membuka kelas pembelajaran bahasa Kadazan Dusun di daerah tersebut.

“Justeru kelas bahasa ibunda di Tiong Monggis ini akan kami jadikan sebagai salah satu panduan ke arah itu,” katanya.

Terdahulu turut diadakan taklimat ringkas mengenai Tadika Ceria Kadazandusun Tiong Monggis, yang disampaikan oleh Guru Besar, Zandi Crispaniella dan dibantu dua tenaga pengajar di sekolah tersebut.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.