Aidiladha: Ambil iktibar pengorbanan Nabi – Hajiji

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 2 Second

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor meminta umat Islam di negeri ini agar menghayati dan mengambil iktibar sejarah serta kisah pengorbanan Nabi Ibrahim AS dan puteranya baginda Ismail AS, dalam menghadapi kehidupan yang semakin mencabar ini.

Katanya, Aidiladha adalah hari kebesaran Islam yang juga disambut di seluruh dunia dengan penuh keinsafan dan pengertian besar.

“Ini adalah tahun kedua umat Islam menyambut Aidiladha ketika penularan pandemik COVID-19.

Bagi kita umat Islam di Sabah, iktibar daripada Aidiladha menjadi panduan dalam menghadapi cabaran pandemik COVID-19.

“Aidiladha pada kali ini mengingatkan kita erti kesabaran. Dalam keadaan dan cabaran yang sedang kita hadapi ketika ini, situasi sebegini sebenarnya menuntut kita agar sentiasa bersabar, bersyukur, bermuhasabah diri, berlapang dada dan menempuh cabaran ini secara bersama.

“Ia juga adalah satu pengorbanan besar setiap individu, selaras dengan tuntutan dan ajaran Islam.

Raikanlah Aidiladha ini bersama keluarga di rumah masing-masing dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan,” katanya dalam Perutusan Hari Raya Aidiladha 1442/2021, di sini pada Ahad.

Hajiji juga meminta umat Islam yang membuat ibadah korban sempena Aidiladha ini agar melaksanakannya dengan penuh penghayatan di samping mematuhi SOP yang ditetapkan kerajaan.

Beliau bersama keluarganya turut merakamkan Selamat Hari Raya Aidiladha kepada semua umat Islam di negeri ini.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *