Bantuan HIKMA Akan Disalurkan Kepada Mangsa Kebakaran Tanjung Aru

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:54 Second

KOTA KINABALU : Agensi-agensi Agama Islam Sabah (AIS) akan menyalurkan bantuan kepada mangsa kebakaran di Kampung Tanjung Aru Baru yang berlaku awal pagi tadi.

Menteri Tugas-Tugas Khas Sabah Datuk Mohd Arifin Mohd Arif berkata, bantuan dalam bentuk Huluran Ihsan Keperluan Makanan Asas (HIKMA) itu akan disalurkan berdasarkan data mangsa yang akan diperolehi.

“Selain bantuan HIKMA, mangsa kebakaran juga akan diberikan bantuan kewangan.  Saya difahamkan kejadian sama telah berlaku dua minggu lalu di kawasan yang sama.

“Kita akan mendapatkan data dan jumlah mangsa terlibat daripada Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Tanjung Aru dan juga Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melawat kesan kebakaran di Tanjung Aru Baru disini, petang tadi.

Terdahulu, sebanyak 23 buah rumah jenis tidak kekal yang dibina atas air di Kampung Tanjung Aru Baru di sini musnah dalam kebakaran awal pagi hari ini.

Kebakaran pada pukul 4.32 pagi itu merupakan kejadian ketiga berlaku dalam tempoh singkat di kampung itu, yang mengakibatkan 33 rumah musnah pada 25 Mei lepas manakala 10 rumah lagi pada 6 Julai lalu.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *