COVID-19 : Sabah Kekal Catat Jumlah Kes Positif Yang Tinggi

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 11 Second

KOTA KINABALU : Sabah kekal mencatatkan jumlah kes positif COVID-19 yang tinggi sebanyak 651 kes pada hari ini meskipun merekodkan sedikit penurunan sebanyak 15 kes berbanding 666 kes semalam.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Seri Masidi Manjun berkata, daripada jumlah kes hari ini, sebanyak 372 kes atau 57.14 peratus adalah daripada saringan kluster.

“Ia membabitkan pecahan sebanyak 17 kluster dengan dominasi masih lagi ‘kluster penjara’ iaitu sebanyak 172 kes atau 25.83 peratus daripada kumulatif kes harian.

“Antara penyumbang baharu kes positif COVID-19 hari ini juga ialah Kluster Pauh yang telah diisytiharkan di Kampung Pauh, Mukim Buang Sayang Kinabatangan yang telah menyumbang 20 kes,” katanya dalam kenyataan disini malam ini.

Masidi berkata, turut menyumbang ialah Kluster Angsana yang melibatkan tujuh kes yang terdapat di beberapa lokaliti di daerah Papar dan merupakan satu kluster komuniti.

Katanya, sebanyak 264 kes atau 39.6% pesakit positif berada dalam kategori tahap satu (tidak bergejala) dan 27.6% atau 184 kes dalam kategori tahap 2 (bergejala tanpa radang paru-paru).

“Hanya dua pesakit berada dalam kategori tahap tiga dan satu orang dalam kategori lima dan 200 pesakit atau 30 peratus masih menunggu penilaian kategori tahap pengkelasan mereka,” katanya.

Dalam pada itu, Masidi berkata, bilangan kes positif COVID-19 hari ini diperolehi melalui saringan kontak rapat sebanyak 177 kes; saringan kluster (372 kes); saringan bergejala (44 kes); saringan bersasar (43 kes) dan saringan lain-lain kes (15 kes).

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *