PICK perlu diikaji semula untuk percepatkan pemberian vaksin – Masiung

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 46 Second

TONGOD: Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) wajar dikaji semula dan strategi yang ada sekarang perlu ditambah baik bagi mempercepatkan proses vaksinasi di seluruh negara.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut, Datuk Masiung Banah berkata, program imuniti sedia ada terlalu birokratik sehingga wujud pertindihan Prosedur Operasi Standard (SOP) antara Kerajaan Negeri dan Pusat.

“Kita melihat peranan yang dimainkan antara kementerian, jabatan dan agensi kerajaan juga tidak selaras dan ianya perlu dirombak.

“Kecelaruan fungsi itu turut menyumbang kepada wujudnya peningkatan kes Covid-19 yang kini semakin parah,” katanya selepas melawat program imuniti kelompok di Kampung Tampasak dekat sini, kelmarin.

Terdahulu, Masiung melawat pembinaan bangunan sementara Gereja Anglikan di Kampung Saguon dimana beliau turut menyampaikan beberapa bantuan peralatan bangunan.

Pegawai Daerah Tongod, Mohd Fauzi Norbeh dan Pegawai Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM), Tokyo @ Abdul Hashim Omar turut mengiringi beliau semasa lawatan tersebut.

Beliau yang juga Pengerusi Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) berkata, penstrukturan semula PICK perlu dilakukan dengan melantik anggota profesional yang pakar dalam bidang kesihatan di setiap negeri.

Sebagai alternatif, Masiung turut mencadangkan agar Kerajaan membenarkan vaksin dijual di pasaran menerusi vendor yang dilantik di setiap negeri sebagai usaha mempercepatkan proses vaksinasi.

Katanya, agensi kerajaan dan swasta termasuk pemain industri yang mempunyai bilangan pekerja ramai hendaklah diberi kelonggaran membeli vaksin untuk pekerja mereka.

“Apa yang kita lihat sekarang kuantiti individu yang mendaftar vaksinasi sepuluh kali ganda lebih ramai berbanding mereka yang telah divaksin,” katanya.

Masiung mendakwa, mereka yang telah mendaftar sejak Mac lalu masih ramai belum mendapat panggilan untuk divaksin kerana bekalan vaksin selalu tidak mencukupi.

Selain itu, orang ramai dan para majikan juga boleh bebas memilih jenis vaksin yang mereka mahu jika ia wujud dipasaran.

Setakat semalam jumlah individu yang telah lengkap dua dos vaksin cuma 4.5 peratus berbanding kira-kira 23 juta rakyat Malaysia yang layak divaksin.

Beliau mendakwa sistem imunasasi yang dilaksanakan sekarang ini agak lembab memandangkan statistik terkini penduduk yang telah menerima vaksin cuma lebih 7 juta individu iaitu kira-kira 9 peratus daripada sasaran asal.

Daripada jumlah itu, hanya 1.9 juta orang telah melengkapkan dua dos vaksin, sementara lebih 5 juta telahpun menerima dos pertama.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *