HomeUtamaUnit Vaksinasi Bergerak Tamparuli berjalan lancar

Unit Vaksinasi Bergerak Tamparuli berjalan lancar

Read Time:1 Minute, 48 Second

TAMPARULI: Sistem pengurusan dan penyusunan bagi penerima suntikan vaksin yang diadakan di pusat Unit Vaksinasi Bergerak Dewan Tun Hamdan, Tamparuli adalah sangat baik dan teratur.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Jahid Jahim berkata, beliau berpuas hati dengan perjalanan pemberian vaksin di pusat itu.

“Kita sangat gembira melihat kemudahan vaksinasi, bilangan suntikan vaksin yang dilakukan, serta kelancaran program vaksinasi,” kata Jahid ketika turun padang bagi meninjau perjalanan proses pemberian vaksin tersebut di Dewan Tun Hamdan, sini, hari ini.

Menurutnya, kesedaran masyarakat semakin meningkat hasil kempen masuk kampung, bersemuka, menerusi maya, keluarga, jiran, kawan-kawan, serta kenalan rapat, turut membantu menjayakan program berkenaan.

Katanya, peranan dan tindakan kepimpinan dari peringkat daerah hingga ke peringkat kampung, juga banyak membantu melancarkan program vaksinasi tersebut.

Jahid yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tamparuli, yakin perancangan yang strategik tersebut akan dapat membantu mencapai sasaran kerajaan untuk menyelesaikan pemberian vaksin pada bulan Ogos ini.

Beliau juga berharap inisiatif tersebut dapat mempercepatkan proses pemberian vaksin kepada semua rakyat Malaysia sekaligus membentuk imuniti kelompok dengan lebih cepat.

“Bersama-sama kita berganding bahu membentuk imuniti kelompok, dan bagi yang belum mendaftar vaksin, silalah daftar segera bagi menghalang penularan wabak Pandemik COVID-19,” tegasnya.

Terdahulu, Penolong Pegawai Daerah Kecil Tamparuli, Herman Tunggiging, berkata, hari ini sebanyak 1,500 suntikan diberi kepada masyarakat Tamparuli daripada keseluruhan yang sudah mendaftar untuk suntikan vaksin tersebut.

Herman berkata, program vaksinasi untuk Tamparuli dan Kiulu itu akan diteruskan sehingga 25 Julai 2021, dengan menyasarkan lebih kurang 6 ribu vaksin diberikan kepada penduduk.

Dalam pada itu, suasana dan aliran trafik di kawasan Dewan Tun Hamdan dilihat terkawal dan rata-rata penerima vaksin yang ditemui, berpuas hati dengan keseluruhan proses berkenaan.

Seorang penduduk dari Kampung Damat, Rico J Sandar, 45 tahun, berkata, beliau sangat gembira kerana akhirnya berjaya mendapatkan suntikan vaksin dos pertama atas usaha pihak kerajaan menerusi kepimpinan di kampung mereka.

“Tidak sakit sedikit pun, rasanya digigit semut lebih sakit, malah saya tidak perasan jarum sudah dicucuk atau belum, tapi saya sempat melihat rupanya jarum sudah dicucuk di tangan saya,” katanya.

Turut hadir Pegawai Daerah Tuaran, Sadan Hussein, Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Tamparuli, Madin Anak dan Setiausaha Politik Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah, Jilias Lintar.

RELATED ARTICLES
Utama

KKIA bakal dinaik taraf bermula tahun ini

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular