HomeIsu tempatan15 Pelajar Terbaik SPM 2020 SMK Rancha-Rancha Terima Penghargaan

15 Pelajar Terbaik SPM 2020 SMK Rancha-Rancha Terima Penghargaan

Read Time:2 Minute, 26 Second

LABUAN: Seramai 15 pelajar terbaik Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rancha-Rancha, Labuan menerima penghargaan di atas pencapaian masing-masing dalam satu majlis secara maya, baru-baru ini.

Mendahului senarai penerima Majlis Penghargaan Pelajar Cemerlang SPM 2020 itu ialah pelajar terbaik keseluruhan sekolah berkenaan, Nur Nabilah Afiqah Shamsudin dengan pencapaian 11A, iaitu masing-masing 5A+ dan 6A-.

Setiap pelajar menerima hadiah penghargaan berbentuk wang tunai yang disumbangkan oleh Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Rancha-Rancha, Labuan selain sijil daripada pihak sekolah.

Majlis itu yang diadakan secara dalam talian dari rumah masing-masing turut disertai ibu bapa, wakil Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, Jawatankuasa Tertinggi PIBG dan guru-guru SMK Rancha-Rancha.

Inisiatif itu dibuat Unit Kurikulum bersama barisan pentadbiran SMK Rancha-Rancha sebagai satu cara mengucapkan tahniah dan memberi penghargaan kepada pelajar di atas usaha gigih mereka sehingga memperolehi pencapaian terbaik dalam SPM tahun lalu.

Pengetua SMK Rancha-Rancha, Wan Azman Wan Awang, berkata pencapaian terbabit bukan saja menjadi kebanggan ibu bapa dan sekolah, malah mengharumkan nama SMK Rancha-Rancha sebagai antara sekolah melahirkan pelajar terbaik SPM di Labuan.

Katanya, walaupun majlis itu diadakan secara dalam talian disebabkan pandemik COVID-19, ia tetap bermakna dalam menzahirkan penghargaan sekolah kepada pelajar.

“Saya mengucapkan terima kasih atas usaha Unit Kurikulum SMK Rancha-Rancha dan guru-guru kanan bidang mata pelajaran serta Setiausaha Kurikulum, Ismayani Ismail selaku penyelaras majlis atas penganjuran majlis ini walaupun hanya secara dalam talian,” katanya.

Majlis berkenaan disempurnakan Timbalan Pengarah Sektor Pengurusan Sekolah, Jabatan Pendidikan Labuan, Maimoon Matnoh yang mewakili Pengarah Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan.

Yang turut hadir ialah Yang Dipertua PIBG SMK Rancha-Rancha, Adi Tuah dan Ahli Jawatankuasa Tertinggi PIBG sekolah berkenaan.

Wan Azman turut mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah kepada pelajar cemerlang SPM 2020 sekolah itu kerana menunjukkan pencapaian yang membanggakan meskipun banyak cabaran terpaksa dilalui sepanjang tahun lalu.

“Sesungguhnya kegigihan, iltizam dan disiplin diri adalah formula kejayaan bagi setiap pelajar di samping usaha gigih guru-guru, kaunselor sekolah dan ibu bapa dalam membantu pelajar hingga mencipta kejayaan.

“Saya juga bangga dengan usaha berterusan tanpa jemu dan putus asa ditunjukkan guru-guru meskipun berdepan cabaran berat disebabkan pandemik Covid-19. Tanpa komitmen tinggi guru, kejayaan pasti sukar dicapai,” katanya.

Sementara itu, Maimoon menyampaikan salam tahniah Pengarah Jabatan Pendidikan Labuan kepada seluruh warga pendidik SMK Rancha-Rancha atas kejayaan pelajar dan sekolah mendapat keputusan 100 peratus pelajar SPM 2020 sekolah itu lulus.

Katanya, keupayaan SMK Rancha-Rancha yang mampu melahirkan ramai pelajar cemerlang dan mencapai kelulusan 100 peratus perlu terus dikekalkan dan ditingkatkan lagi dari semasa ke semasa.

“Momentum yang baik ini perlu dikekalkan dan ini adalah bukti kerjasama baik yang ditunjukkan oleh warga SMK Ranca-Rancha ” katanya.

Beliau turut berpesan kepada pelajar cemerlang yang diraikan untuk menjadikan kejayaan dalam SPM 2020 sebagai satu titik permulaan bagi mereka untuk meraih lebih banyak kejayaan pada masa depan, selain menjadi pendorong untuk mencapai impian masing-masing.

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

Lapan finalis berentap dalam kategori remaja MTHQ

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya