COVID-19: Saringan Kontak Rapat penyumbang angka kes positif tertinggi di Sabah

Read Time:1 Minute, 24 Second

KOTA KINABALU: Jumlah kes positif COVID-19 Sabah pada hari ini ialah 720 kes iaitu penurunan sebanyak 98 kes berbanding 818 kes yang dicatatkan semalam (25 Julai 2021).

Namun enam kes kematian dilaporkan pada hari ini iaitu empat kes di Kota Kinabalu manakala Kota Marudu dan Sandakan masing-masing mencatatkan satu kes.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Seri Masidi Manjun berkata, sebanyak 331 kes atau 45.97% penyumbang utama jumlah kes hari ini adalah dari Saringan Kontak Rapat, diikuti tambahan kes dari Kluster Sedia Ada dengan 226 kes atau 31.39% dan Saringan Bergejala sebanyak 103 kes atau 14.31% dari kumulatif kes harian Negeri Sabah. Walau bagaimanapun, tiada kluster baharu dicatatkan pada hari ini.

Katanya, Kluster Agathis adalah penyumbang tertinggi iaitu sebanyak 112 kes daripada keseluruhan 226 kes yang berpunca daripada Saringan Kluster.

Manakala bagi Saringan Kontak Rapat pula, Kota Kinabalu menyumbang kes tertinggi dengan 69 kes daripada kumulatif kes yang berpunca daripada Saringan Kontak Rapat iaitu 331 kes.

Sementara itu sejumlah 83.6% daripada kes-kes hari ini adalah dalam Kategori 1 dan Kategori 2. Kategori 1, iaitu 255 kes adalah mereka yang tidak mengalami sebarang simptom dan Kategori 2 iaitu sebanyak 347 kes sekadar mengalami simptom ringan (mild).

Kedua kategori pesakit ini tidak perlu dimasukkan di hospital untuk rawatan, sekadar ditempatkan di Pusat Kuarantin Rawatan COVID-19 (PKRC).

Menurut Masidi lagi, seluruh daerah di negeri Sabah mencatatkan perubahan angka kes positif COVID-19 yang terus meningkat dan dengan jumlah catatan sebanyak 331 kes daripada Saringan Kontak Rapat, dapat disimpulkan masih terdapat kebarangkalian tinggi berlakunya aktiviti ketidakpatuhan prosedur operasi standard (SOP) yang telah digariskan sungguhpun pelbagai seruan dan saranan telah dilakukan oleh pihak Kerajaan.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *